Kerajaan menyenaraikan kacang tanah dan hijau, telur ayam, kelapa, gula dan tepung gandum dalam senarai barangan harga terkawal.
GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga biskut raya pada musim perayaan Aidilfitri ini.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual biskut raya dengan harga tinggi.
“Sebab itu, kita melancarkan lebih awal 10 barang kawalan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 bagi membantu pengguna dan juga peniaga yang membuat kuih dan biskut raya untuk menstabilkan harga kuih-kuih yang mereka buat nanti,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-45 Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, di sini hari ini.
Beliau berkata skim kawalan bagi 10 barangan itu yang pertama kali diadakan hasil cetusan idea rakyat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya menerusi skim kawalan harga terhadap 10 barang terbabit, peniaga kuih raya dapat menjadikan ia sebagai panduan untuk tidak menaikkan harga barangan yang bakal dijual nanti.
Semalam, kementerian menyenaraikan 10 barangan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 selama 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini, di seluruh negara.
Barangan berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.
Hamzah berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang ingkar peraturan skim berkenaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Pada masa sama, kementerian belum menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga barang menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Hamzah bagaimanapun berkata kementerian menjangkakan perkara terbabit akan berlaku dan atas sebab itu, pihaknya melaksanakan skim kawalan harga sempena Ramadan dengan lebih awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan