KUALA LUMPUR – Semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara diarah menangguhkan aktiviti luar berkuat kuasa serta merta.
Arahan itu
dibuat susulan tragedi yang mengorbankan dua penuntut Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam akibat dihempap pokok serta
mencederakan enam yang lain semasa mengikuti aktiviti luar.
Timbalan
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata,
kementerian memandang serius kejadian berkenaan dan akan melakukan
siasatan dalaman selain menilai garis panduan (SOP) pelaksanaan aktiviti
seumpama itu.
“Siasatan akan dijalankan dan saya tidak akan memberi sebarang komen tentang SOP sehingga kita memperoleh hasil siasatan.
“Saya
tidak boleh komen berapa lama siasatan akan diambil. Beri kami masa.
Saya cukup kecewa apabila menerima berita itu,” katanya selepas melawat
Muhammad Haziq Radzuan, seorang daripada mangsa yang mengalami
kecederaan, Selasa.
Pada masa
sama, Yap berkata, kementerian turut mengarahkan UiTM mengambil tindakan
segera untuk menjaga kebajikan mahasiswa yang terlibat dengan memberi
khidmat kaunseling dan bantuan yang diperlukan.
“UiTM juga
akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan seperti
Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
berkaitan dengan insiden ini,” katanya.
Dalam
insiden beberapa hari lalu,, semua mangsa menjalani latihan ikhtiar
hidup di Air Terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, Pahang.
Mereka
adalah antara 140 penuntut dan empat pensyarah yang mengikut program
‘Ukhwah dan Pemantapan Jati Diri Pelajar Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan’ dari 12 hingga 14 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan