Rabu, 17 Mei 2017

Antara DAP, PSM dan BN di Sungai Siput?


B Nantha Kumar


PSM sepatutnya berbincang dengan PH, bukan sebaliknya

KUALA LUMPUR: Setiap kali melihat ke belakang mengenai peperangan askar kita dengan komunis pada tahun lewat 40an, nama Sungai Siput tidak dapat dilupakan atau disisihkan daripada sejarah.

Ramai yang tidak tahu, darurat diisytiharkan di seluruh negara pada tahun 1948 dan sehingga 1960, kerana kejadian pembunuhan tiga peladang warga British oleh komunis di Sungai Siput pada tahun 1948.

Maka, boleh dikatakan Sungai Siput merupakan satu titik noktah peperangan secara besar-besaran terhadap komunis di Malaya yang berlanjut sehingga satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.

Tetapi, sekali lagi tempat ini menjadi sebutan orang ramai pada tahun 2008 di mana Pilihan Raya Umum ke-12, bekas Presiden MIC S Samy Vellu dikalahkan di Sungai Siput buat pertama kali beliau bertanding di situ sejak tahun 1974.

Dan kini, sejak beberapa hari yang lalu, kerusi Parlimen Sungai Siput kembali mendapat perhatian khususnya ahli-ahli dan pemerhati politik selepas Samy Vellu meminta Presiden MIC Dr S Subramaniam supaya bertanding di Sungai Siput pada PRU yang akan datang.

Ini bukanlah satu perkara yang asing, di mana sejak kerusi Sungai Siput ditubuhkan pada tahun 1958, secara tradisinya ditandingi oleh Presiden-Presiden MIC sahaja kecuali pada tahun 1974 dan 2013.

Bermula pada tahun 1959, Presiden MIC kelima VT Sambathan bertanding dibawah tiket Perikatan bersemuka calon PPP (Parti Progresif Penduduk) K Annamalai. Sambanthan menang dengan majoriti 2,803 daripada jumlah 17,175 pengundi.

Pada tahun 1964, Sambathan berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti 5,933 apabila kalahkan calon PPP, V Ramaiah. Beliau sekali mempertahankan kerusinya apabila dicabar oleh Ramaiah pada 1969, tetapi dengan majoriti sangat kecil iaitu 146 undi sahaja. Manakala, jumlah pengundi pada 1969 adalah 21,702.

Selepas era Sambathan, Samy Vellu buat pertama kali bertanding di Sungai Siput pada tahun 1974, sebagai calon Barisan Nasional. Beliau berhadapan pertandingan empat penjuru dimana DAP diwakili P Patto, manakala seorang calon Bebas dan calon daripada Pekamas.

Samy Vellu berjaya mengalahkan calon DAP dengan majoriti 664 undi. Namun, kalah undi popular setelah calon Bebas dan Pekamas memperolehi 980 undi.

Sejak 1974, DAP tidak menurunkan calon yang berwibawa di Sungai Siput sehingga 1990, memberi laluan mudah kepada Samy Vellu memenangi kerusi itu pada tahun 1978, 1982, dan 1986 masing-masing dengan majoriti 5,141, 7,897 dan 4,436 undi.

Pada 1990, Samy Vellu sekali lagi dicabar oleh P Patto, namun Samy Vellu tetap menang walaupun majoriti turun kepada 1,763 undi sahaja. Pada 1995, merupakan kemenangan besar kepada Samy Vellu menang dengan majoriti 15,610 undi. Jumlah pengundi pada masa itu adalah 45,151.

Pada PRU 11, (1999) bermulanya era Dr Micheal Jayakumar di mana buat pertama kalinya beliau bertanding di Sungai Siput di atas tiket DAP menentang Samy Vellu. Beliau kalah dengan majoriti 5,259 undi sebelum kalah sekali lagi pada tahun 2004 dengan majoriti 10,349 dalam pertandingan tiga penjuru selepas DAP menurukan calon sendiri iaitu mendiang P Ponmugam. Jayakumar bertanding di atas tiket PKR.

Setelah kalah dalam dua percubaan pertama sebelum Jayakumar akhirnya bangkit membuat kejutan politik, di mana Samy Vellu ‘dihanyutkan’ dalam ‘Tsunami politik’ 2008.

Pada PRU 12, Jayakumar yang bertanding dengan tiket PKR berjaya kalahkan Samy Vellu dengan majoriti 1,821 undi dengan jumlah pengundinya mencecah 47,424.

Jayakumar sekali mengekalkan kerusinya pada 2013, selepas mengalahkan SK Devamany, calon BN dengan majoriti 2,793 undi. Walaupun, Jayakumar merupakan PSM, beliau bersetuju untuk bertanding di atas tiket PKR, selepas satu persefahaman antara PSM dan Pakatan Rakyat.

Dan hari ini, PSM mengumumkan bahawa akan bertanding di 20 kerusi parlimen dan DUN termasuk Sungai Siput. Cuma perbezaannya kali ini PSM sedia bertembung dengan BN dan juga Pakatan Harapan setelah masih tidak mempunyai persefahaman diantara PSM dan Pakatan Harapan.

Menurut sumber, selain, kerusi-kerusi tradisional seperti Sungai Siput, Jelapang (DUN Perak),
Semenyih dan Kota Damansara (masing-masing DUN Selangor) didapati PSM berminat di Parlimen Cameron Highlands (Pahang), Subang (Selangor), Batu Gajah (Perak).

Turut dikatakan PSM akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai (Pahang), Tronoh, Malim Nawar (Perak) dan beberapa kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, tindakan PSM tidak disambut baik oleh DAP.

Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan berkata kenyataan Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan sangat ‘melucukan’.

“Mereka kata mereka tidak cenderung untuk menyertai Pakatan Harapan. Tetapi, mereka perlu faham PSM merupakan sebuah parti kecil berbanding hampir semua parti di Pakatan Harapan. Jadi, mereka sepatutnya berbincang dengan kami, bukan sebaliknya,” katanya kepada Berita Daily.

“Di Perak kami (PH) tidak mempunyai sebarang persefahaman dengan PSM. Tetapi, kami akan menurut sebarang cadangan mahupun arahan daripada pusat,” jelasnya.

Ditanya berkenaan khabar angin, kemungkinan beliau bertanding di Parlimen Sungai Siput, Sivanesan berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan DAP.

“Sekiranya mereka nak, maka saya sedia menggalas tugas di Sungai Siput,” katanya yang kini merupakan Adun Sungkai.

Ujarnya, pengundi di Sungai Siput bukan pengundi calang-calang.

“Sejarah menunjukkan dengan menolak Samy Vellu pengundi Sungai Siput telahpun membuat kejutan pada 2008. Saya tidak hairan mereka buat kejutan lagi pada PRU akan datang,” jelasnya.

Beliau turut berkata DAP mempunyai sokongan yang lebih padu berbanding PSM dan BN di Sungai Siput.

“Sebagai contoh, pada PRU yang lalu, DAP menang di kerusi DUN Jalong dengan majoriti 6,800 undi, manakala calon PKR kalah di DUN Lintang dengan majoriti 3,800 undi. Ini menunjukkan DAP mendapat lebih 1,000 undi di Jalong berbanding Jayakumar,” kata Sivanesan sambil menjelaskan Jalong dan Lintang merupakan dua kerusi DUN di Parlimen Sungai Siput.

Sivanesan turut menunjukkan statistik di mana sejak tahun 1959, jumlah pengundi di Sungai Siput daripada 17,175 kepada lebih kurang 53 ribu pengundi sampai sekarang.

“Secara purata hanya 630 pengundi sahaja mendaftar sebagai pengundi setiap tahun sejak 58 tahun yang lalu. Ini kerana sumber pendapatan dan peluang pekerjaan masih tidak mencukupi kepada penduduk Sungai Siput yang terpaksa berkembar ke tempat lain untuk peluang pekerjaan dan taraf hidup yang lebih selesa,” katanya.

“Pembangunan yang amat tipis di Sungai Siput berterusan dari era BN sehingga sekarang. Dan ia perlu diatasi,” kata Sivanesan lagi.

Dalam pada itu, Berita Daily turut mendapati MIC bersiap sedia menurunkan Ketua Pemuda Kebangsaan, C Sivarraajh sebagai calon BN pada PRU yang akan datang.

Tiada ulasan: