Rabu, 10 Mei 2017

Aktivis selar SKMM cuba tutup mulut pengguna media sosial

 
Kumpulan aktivis digelar Article 19 cawangan Malaysia mendesak SKMM menarik balik 'peringatan' kepada pentadbir kumpulan yang disifatkan 'cubaan menyampaikan ugutan tersirat kepada pengguna media sosial'.


mcmc_social-media_1600 

KUALA LUMPUR: Kumpulan aktivis yang memperjuangkan kebebasan bersuara menyifatkan “peringatan untuk pentadbir kumpulan” yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ialah satu bentuk sekatan terhadap pengguna media sosial oleh kerajaan.

Article 19 cawangan Malaysia yang dinamakan sempena Perkara 19 Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 itu mendesak SKMM menarik balik peringatan itu serta-merta.

Mereka juga mahu SKMM memberitahu pengguna sosial media tidak perlu bertanggungjawab terhadap kandungan disebarkan pihak ke-3.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan menyifatkan peringatan SKMM itu sebagai “cubaan menyampaikan ugutan tersirat kepada pengguna media sosial”.

“Nasihat SKMM itu adalah peringatan jelas kepada pengguna internet yang mereka dijangka menguatkuasakan sekatan tegas terhadap kebebasan bersuara secara online melalui penapisan persendirian,” kata kumpulan itu.

Peringatan yang dikeluarkan SKMM pada 3 Mei lalu sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia menyasarkan pentadbir kumpulan (Group admin) untuk platform komunikasi seperti Facebook, WhatsApp, Wechat, Viber, dan Telegram, atau perkhidmatan seumpamanya.

SKMM menasihatkan pentadbir kumpulan berperanan proaktif dalam memantau dan membuang kandungan dimuat naik orang lain ke halaman mereka.

Menurut Article 19, peringatan itu menggunakan bahasa tidak jelas untuk mengarahkan mereka tidak patut menjadi “pentadbir kumpulan tidak aktif atau senyap”, “menggalak, menghasut atau bersubahat terhadap komen jelik”, “membenarkan perbincangan keluar daripada topik” atau “melanggar standard komuniti” (ditetapkan penyedia platform).

Peringatan itu turut menggalakkan pentadbir kumpulan “sentiasa semak komen” dan “mempertimbangkan untuk mengeluarkan atau menyekat mereka yang terus membuat komen jelik”.

“Walaupun tiada peraturan sedemikian yang boleh dikuatkuasakan, tetapi 1 amaran dalam Facebook SKMM disertakan dengan nasihat itu yang menyatakan pengguna internet perlu ‘bijak menggunakan media sosial untuk perlindungan diri’.

“Ini menunjukkan kegagalan mematuhi nasihat itu boleh menyebabkan pentadbir kumpulan bertanggungjawab terhadap posting orang lain, walaupun liabiliti untuk kandungan pihak ke-3 tiada dalam peruntukan undang-undang Malaysia.”

Menurut Article 19, peringatan SKMM itu dikeluarkan susulan individu “kerap ditahan, disiasat dan didakwa kerana luahan kritikal atau mempersoalkan kerajaan secara online”, khususnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang tidak mematuhi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Sehubungan itu, Article 19 berpendapat nasihat SKMM untuk menyampaikan ugutan tersirat kepada pengguna media sosial, walaupun mereka bukan pengarang mesej menyinggung perasaan itu, tetapi mereka masih boleh didakwa atas dasar asosiasi.

“Ini mungkin memberi kesan kepada pengguna internet persendirian yang dipilih untuk berperanan menguatkuasakan sekatan kandungan zalim dalam talian, dengan mangsa penapisan itu tiada jalan lain untuk mencabar atau merayu penarikan balik itu.”

Katanya, piawaian kebebasan bersuara antarabangsa jelas menyatakan tiada individu perlu bertanggungjawab terhadap kandungan yang bukan dikarang mereka, kecuali mereka menolak untuk mematuhi perintah mahkamah bagi membuang kandungan itu.

Kumpulan itu berkata, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan bersuara memberi amaran “individu tidak harus dipaksa secara sah atau tidak sah untuk mengambil langkah tidak perlu atau gangguan tidak seimbang terhadap kebebasan bersuara”, termasuk membuang kandungan.

“Nasihat SKMM jelas bertujuan memberi tekanan kepada pengguna media sosial yang bertentangan standard dan semangat kebebasan bersuara antarabangsa yang dijamin dalam Perkara 10(a) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Article 19 menggesa SKMM menarik balik peringatan itu dengan segera dan menjelaskan kepada pengguna media sosial mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kandungan dicipta pihak ke-3.”

Mereka turut menggesa kerajaan melakukan pembaharuan menyeluruh kepada undang-undang yang melanggar hak kebebasan bersuara, termasuk dalam talian, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: