NILAI: Umpama jatuh ditimpa tangga buat Maulud Wahid yang sedang
menguruskan jenazah abang iparnya apabila diberitahu rumahnya dihempap
papan iklan yang mencederakan anak perempuannya di Kampung Telegong, di
Seremban semalam.
Maulud, 44, yang ketika itu berada di Hospital Tuanku Jaafar berikutan
kematian abang iparnya, terpaksa bergegas pulang selepas dimaklumkan
Diana Athira, 17, cedera ringan akibat terkena serpihan besi konkrit
papan iklan itu.
Angin kencang pada jam 1.30 tengah hari itu menyebabkan papan iklan
terletak berhampiran rumah bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan itu,
tumbang menghempap kediaman tersebut ketika mangsa sedang tidur di
biliknya manakala empat beradiknya bermain di luar rumah.
"Saya hanya mengetahui mengenainya selepas dihubungi anak. Ketika
kejadian, isteri saya berada di rumah saudara berdekatan rumah kami.
"Selepas dapat panggilan itu, saya terus balik kerana khuatir keselamatan anak-anak yang berada di rumah," katanya.
Menurut Maulud, beliau ada membuat laporan mengenai papan iklan
tersebut yang baru dinaikkan bulan lalu kerana terlalu hampir dengan
rumahnya kepada Majlis Perbandaran Nilai, dua minggu lepas kerana
bimbangkan keselamatan keluarganya.
"Anak saya yang cedera telah dibawa ke Klinik Kesihatan Labu tetapi masih mengadu sakit selepas dibawa pulang ke rumah.
"Saya akan bawanya ke hospital untuk rawatan susulan," katanya.
Adik Diana, Mohd Haniq Farhan Maulud, 15, berkata beliau tidak sedap
hati ketika angin kencang dan sempat menjerit memanggil kakaknya sebelum
papan iklan itu tumbang menghempap rumah itu.
"Kakak tidak sempat keluar dari rumah. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berlaku dengan pantas," katanya.
Seorang jiran Mohd Asri Abdullah, 37, pula berkata mulanya beliau
menyangka bunyi petir tetapi apabila menyedari papan iklan itu
menghempap rumah jirannya, beliau terus bergegas membantu mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan