Sabtu, 3 Disember 2016

MASIH ADA MASA DEPANKAH MEREKA INI DALAM UMNO?

shahbudindotcom


Walaupun Perhimpunan Agung UMNO lebih merupakan pesta tahunan untuk membodek, mengipas, mengampu dan perlakuan lain yang sedarjatnya dengannya, rupa-rupanya masih ada jurucakap yang lebih jujur, ikhlas dan tidak rela terus diperbodohkan.

Jurucakap Puteri UMNO, Norsafinaz Mohd Azman dari Terengganu mendesak pimpinan kerajaan agar berhenti menutup kebenaran berkaitan ekonomi negara.
 
 
 
 
Jangan tipu kami. Kalau ekonomi tak bagus, cakap tak bagus. Jangan cakap ekonomi masih okay, tetapi kami nampak kawan-kawan diberhentikan kerja dan harga barang rumah naik, katanya.

Ketika beliau menyampaikan kritikannya, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar ucapannya.
 
 
 
 
Jurucakap Pemuda UMNO, Rizuan Ahmad meluahkan mengenai kenaikan kos sara hidup yang menjadi beban kepada rakyat, terutama golongan marhaen dan orang-orang kampung.

Di satu ketika beliau meminta Najib beratur naik bas dan pergi ke pasar membeli minyak masak untuk merasai sendiri keluh kesah dan derita rakyat yang terus terbeban itu.

Ketika beliau berucap yang mendapat tepukan para perwakilan, Najib dan Rosmah turut hadir mendengarnya.
 
 
 
 
Wakil Pahang, Shahaniza Shamsuddin banyak membangkitkan kelemahan pengurusan Felda terhadap peneroka, meskipun mereka merupakan penyokong UMNO dan BN selama ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, turut melahirkan kehairanan tentang kenaikan harga minyak masak di negara kita ini, di sebalik ladang kelapa sawit yang luas terbentang di depan mata.

Wakil Johor, Ayub Rahmat menyeru UMNO agar berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia kepada parti itu serta mengenang-ngenang apa yang telah disumbangkannya.
 
 
 
 
Beliau yang juga Adun Kemelah berkata, orang Melayu tidak terhutang budi kepada UMNO, sebaliknya  parti itulah yang terhutang budi dan patut berterima kasih kepada orang Melayu.

Mereka ini adalah sebilangan kecil pemimpin yang tidak seperti Nazri Aziz, Salleh Said Keruak, Fuad Zarkashi, Ahmad Maslan, Abdul Rahman Dahlan dan ramai yang lain yang hanya tahu mengipas, membodek dan mengampu serta tidak tidak mahu kebenaran sebagai suatu kenyataan.

Tetapi, berada di dalam kelompok yang majoritinya adalah pengipas, pembodek dan pengampu, masih ada masa depankah mereka ini?

Mampukah mereka terus menjadi pemimpin yang bersuara atas kebenaran atau akan menerima tekanan supaya diam dan seterusnya perlahan-lahan akan tenggelam?

Tiada ulasan: