Selasa, 20 Disember 2016

Felcra tanggung 20% bayaran balik PTPTN anak peneroka

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Felcra Berhad (Felcra), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peminjam dalam kalangan anak peneroka berkenaan.
 
Diskaun sebanyak 20 peratus itu akan dibiayai oleh badan tersebut sebagai tanggungjawab sosial Felcra, menurut Najib dalam ucapan perasmiannya hari ini.
 
"Felcra ada kaitan dengan tanggungjawab sosial.
 
"Saya nak umum Felcra akan beri pengurangan bayaran balik pembiayaan PTPTN pada kadar 20 peratus atau RM 4000.00 dari jumlah sebenar anggaran RM20,000.00 bagi yuran pengajian bagi setiap pelajar," kata Najib.
 
Bagi tujuan tersebut, tambahnya, badan yang ditubuhkan pada 1966 oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak itu akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tempoh sepuluh tahun sehingga pada tahun 2026.
 
Pembiayaan tersebut juga tambahnya melibatkan seramai 500 orang anak peneroka setiap tahun, bersamaan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun.
 
"Bagi tujuan itu Felcra akan sedia peruntukan RM20 juta utk tempoh 10 tahun atau RM20 juta setahun.
 
"Ini melibatkan 500 pelajar setiap tahun dan akan cecah 5 ribu pelajar pada 2026," katanya.
 
Turut diumumkan oleh Najib hari ini, kesemua anak peneroka Felcra yang mendaftar untuk melanjutkan pengajian di Kolej Felcra, dijamin akan mendapat kemudahan pinjaman PTPTN bermula pada tahun depan.
 
"Selain itu, mulai 2017, semua pelajar warga Felcra yang daftar di kolej Felcra akan diberikajn jaminan utk dpt pinjaman PTPTN," ujarnya lagi.
 
Najib hari ini hadir pada sambutan ulang tahun ke-50 Felcra di Dewan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.
 
Turut hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PTPTN Datuk Anuar Nasarah bagi menyaksikan perjanjian persefahaman (MOU) antara Felcra dan PTPTN.
 
 

Tiada ulasan: