Jumaat, 28 Oktober 2016

'Dibelasah' wakil rakyat Pas, Husam ajak berdebat di luar DUN

MALAYSIA GAZETTE


ADUN Salor, Datuk Husam Musa bersalaman dengan para penyokongnya di luar DUN Kelantan di Kota Bharu semalam.
ADUN Salor, Datuk Husam Musa bersalaman dengan para penyokongnya di luar DUN Kelantan di Kota Bharu semalam.
 
 
Nampaknya Datuk Husam Musa 'dibelasah teruk' oleh wakil-wakil rakyat Pas pada sidang Dewan Undangan Negeri Pas Kelantan semalam.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri Salor yang kini ahli Parti Amanah Negara (PAN) itu lebih banyak berdiri daripada duduk kerana mempertahankan dirinya daripada dikritik bertalu-talu.

Malah hampir kesemua ahli Exco kerajaan negeri yang berucap, Husam meminta laluan banyak kali untuk mempertahankan diri.

Beliau kelihatan tidak cukup tangan 'berlawan' di DUN Kelantan dan bagi ahli-ahli wakil rakyat UMNO berdiam diri melihat senario memandangkan PAN juga bukan rakan baik Barisan Nasional.

Semasa ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud 'pertikama lidah' dengan Husam semakin sengit.

Nassuruddin secara terang-terang mempertikaikan bai'ah yang dikhianati Husam seolah-olah tidak menghormati agama Islam dan mendakwa Husam mengkritik kerajaan tidak melalui saluran yang betul.

Menurutnya, Husam selalu tidak hadir ketika diminta penjelasan oleh pucuk pimpinan parti tetapi terus mengkritik pemimpin Pas di luar.

Mohd. Nassurudin juga menafikan dakwaan yang beliau pernah mengkritik Husam dengan menyebut nama 'kepalo bapok mu, kepalo tok mu'.

"Saya rasa dia (Husam) tujukan kepada saya.. saya dalam ceramah itu sebut 'buke tanoh pok mu, bukan tanoh tok mu' bukan 'kepalo pok mu, kepalo tok mu'..saya dah check balik," ujarnya.

Selepas tidak lagi diberi laluan, Husam juga mencabar Mohd. Nassurudddin berdebat dengannya mengenai isu yang sama.

Insiden yang sama juga berlaku semasa Exco kerajaan negeri, Datuk Annuar Tan Abdullah berucap telah 'diganggu' oleh Husam.

Bagaimanapun, sebagai ahli politik berpengalaman dan strategis, di luar DUN Husam dilihat bersama-sama sekumpulan penyokongnya yang membuat bantahan kepada kerajaan negeri mengenai dakwaan salah laku kerajaan negeri berkaitan isu balak, perumahan dan sebagainya.

Menurut sumber, Husam akan mempertahankan dirinya diluar menerusi ceramah dan forum peringkat nasional atau atas pentas PAN bagi menjawab kritikan yang diterima semasa sidang DUN.

Walaupun sukar namun Husam dikatakan akan berusaha keras mengekalkan momentum bagi meletakkan dirinya terus sebagai pemimpin pembangkang dan meluaskan pengaruh PAN di Kelantan sehingga pilihanraya umum kelak.-- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: