Jumaat, 28 Oktober 2016

PAS perkenalkan maksud pembangkang beradab

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] PAS bukan berbuat bodoh. Ia tidak keluar Dewan Jumaat lalu kerana mahu membezakan tarbiyah politiknya dengan PKR, DAP dan Amanah. Membangkang tidak semestinya memboikot perbahasan.
 
PAS mahu meneliti cadangan Bajet 2017 Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, terlebih dahulu sebelum memberi komen. PAS percaya berlandaskan perbahasan yang sihat dan adil, barulah rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.
 
PAS bukan tidak boleh membaca dan menganalisis apa yang berlaku di persada politik tanah air. PAS juga tidak setuju cara 1MDB diuruskan. PAS juga ada pendirian tetapi mahu menzahirkannya menurut cara yang budiman dan betul.
 
"Kita ada cara tersendiri melalui peraturan dewan... Saya tidak tahu rancangan (keluar Dewan) itu. Terpulang mereka berkenaan dengan MO1. Kita (PAS) pun persoal juga siapa MO1," kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
 
Watak politik PAS semakin berubah dan membentuk entiti baharu dan segar. Ia tidak mudah melatah dan setiap tindakannya nampaknya disuluh pendekatan lebih yakin dan beradab.
 
PAS pembangkang berhemah, matang dan sopan
 
PAS mengulit politiknya seberapa matang, sopan dan sejahtera termampu. Reaksinya terhadap isu dan serangan politik kawan dan lawan disambut dengan tenang dan berhemah.
 
Namun PAS tetap melaungkan ia parti pembangkang – saingan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). Di segi syaksiahnya PAS lebih selesa mempamerkan jatidiri berbeza dengan cara pemikiran dan perangai pembangkang lain.
 
Langkah politiknya banyak disandarkan kepada semangat perlembagaan negara, undang-undang, protokol dan adab Islam. Paling diutamakan ialah kesejahteraan rakyat dan negara. 
 
Ketika parti-parti pembangkang lain cuba menyuntik rasa cemas dan curiga dalam jiwa dan benak rakyat, PAS memilih bertenang dan mendepani masalah rakyat dan kerajaan dengan cara benar dan bermaruah.
 
Dalam menentukan kesahihan dan kewibawaan pemimpin serta pemerintah, PAS memilih pentaksiran prestasi yang adil dan memelihara maruah pihak terbabit. Ini bagi menghayati doktrin bermasyarakat Islam. 
 
Paling utama, PAS sudah tidak teruja dengan jalan songsang menukar kerajaan. Ini kerana semangat perlembagaan negara sudah menetapkan pemerintah dan pemimpin ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya.
 
Justeru PAS menolak cara menjatuhkan dan menukar kerajaan melalui demonstrasi jalanan. PAS mengumumkan tidak bersetuju dengan pendekatan Deklarasi Rakyat Tun Mahathir Mohamad atau Gerakan Bersih 5.0.
 
***RUU 355: Kerjasama PAS terbuka 
 
Saban hari PAS semakin giat dan yakin dengan pegangan politiknya. Ia bersikap terbuka pada mana-mana pihak yang mahu berunding dengannya demi kemaslahatan umat.
 
Terbaharu PAS memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak salah berunding dengan mana-mana pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dalam isu pindaan Akta 355 bagi memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara yang berkaitan hal ehwal Islam adalah tanggungjawab orang Islam tanpa mengira parti politik atau fahaman ideologi.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua 
pihak perlu bersikap terbuka atas prinsip demokrasi dan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
 
"Adalah menjadi tanggungjawab semua penganut Islam untuk melaksanakan ajaran berkaitan kepentingan bersama masyarakat Islam.
 
"Kalau sekiranya berkait dengan kehidupan seperti hal lebuh raya, jambatan Pulau Pinang atau macam-macam lagi, boleh pula berunding antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat.
 
"Jadi adakah salah kami berunding dengan Kerajaan Pusat di semua peringkat?," katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat Rabu lalu.
 
Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) yang mempersoalkan kenapa PAS rela diperalatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pindaan akta itu sehingga memecahbelahkan perpaduan di antara parti pembangkang.
 
Abdul Hadi memperjelaskan bahawa tidak ada paksaan kepada mana-mana negeri atau ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong rang undang-undang itu untuk diluluskan.
 
Katanya, ia tidak sepatutnya menimbulkan ketegangan
di antara agama kerana usul persendirian yang mahu dibawakan itu tidak ada kena-mengena dengan hudud dan hanya melibatkan undang-undang peringkat negeri.
 
"Sepatutnya kita boleh berdialog secara harmoni dengan tokoh-tokoh agama," katanya.
 
Mulanya pendekatan ini tidak begitu digemari beberapa kerat pemimpin PAS sendiri. Ada menganggap sikap ini apologetik dan tidak menguntungkan PAS. Beberapa kerat pemimpin meninggalkan PAS.
 
PAS 'insaf' jalin kerjasama dengan DAP
 
PAS mula mencermin diri apabila dibalun hebat oleh DAP. Bagi parti sekular itu PAS tidak menepati janji dan sukar dipercayai. Sasaran DAP ialah presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. DAP  memutuskan hubungan dengan beliau.
 
Adalah jelas DAP lebih senang berunding dengan golongan profesional PAS. Mereka faham pemikiran DAP. Namun Haji Hadi segera mengesan muslihat DAP. Ia cuma mahu memperkotak-katikkan PAS. 
 
Lantas apabila golongan pro-DAP dalam PAS kalah dalam muktamar lebih setahun lalu, kumpulan ini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan segera diterima masuk menjadi kerabat Pakatan Harapan bersama PKR.
 
Haji Hadi dan kepimpinan PAS lain mulai muhasabah diri dan insaf bahawa sejak bergabung dengan PKR dan DAP pada 2008, PAS semakin hilang jatidirinya sendiri sebagai sebuah parti Islam.
 
Lantas apabila PAS mengorak langkah melaksanakan hukum syarak, hubungannya dengan DAP mulai berderai. PAS insaf dalam kelekaan mahu berkuasa, perjuangan pokoknya menyusun carahidup rakyat menurut Islam, sudah terabai. 
 
Yang mengecewakan PAS ialah persefahaman awal bahawa setiap kerabat Pakatan Rakyat bebas memperjuangkan pemikiran dan ideologi masing-masing, tidak mempunyai nilai. 
 
DAP bermati-matian mahu menyekat hasrat melaksanakan syariat Islam. Sementara PKR pula tidak menunjukkan komitmen yang tinggi pada usaha PAS.
 
DAP menyindir dan mengkritik PAS, terutama Haji Hadi secara terbuka. Namun reaksi PAS ialah, rapatkan saf dan fokus pada inti perjuangannya – laksana ajaran Islam. 
 
Ketika itu PAS sedar bahawa bukan parti sekular DAP sahaja yang ragu, ngeri dan kurang menyukai perjuangan PAS. Satu lagi kerabat pakatan rakyat, PKR, pun tidak senang dengan fokus baru PAS.
 
Keadaan ini agak menyedihkan kerana sebahagian besar pemimpin Melayu-Islam PKR sedikit sebanyak pernah terdedah dengan pemikiran gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam (Abim).
 
PAS tidak bercadang mencabar pemikiran sedemikian. Ia mahu menghidupkan nilai dan semangat Islam dalam perjuangan politiknya. Penghijrahan golongan demokrat keluar PAS memudahkan PAS membina semula jatidirinya. 
 
Potensi dan kemampuan politik PAS tinggi. Ia tidak perlu berebut pengaruh dengan DAP, PKR, Amanah dan juga Umno. PAS percaya 'tidak kan hilang bisa ular yang menyusur akar'.
 
 

Tiada ulasan: