Kerajaan negeri Selangor belum berhasrat mengumumkan cuti peristiwa sebagai menghargai kemenangan sekiranya Selangor berjaya mengekalkan kejuaraan Malaysia 2016, malam Ahad ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cuti peristiwa belum berada dalam bayangannya sebaliknya yang lebih penting memberikan keyakinan dan dorongan kepada seluruh pasukan untuk fokus kepada permainan di atas padang nanti.
Beliau yang juga Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) enggan mengulas tentang imbuhan pembakar semangat dan menyerahkan kepada masa untuk menentukannya kelak
“Malam ini saya akan bertemu pemain lagi dan biarlah kita umumkan imbuhan pada masa yang sesuai.
“Selangor sentiasa menghargai penjawat awam dan pemain bola sepak serta yang penting kita harus jaga prestasi dalam perkhidmatan dan dalam bola sepak
“Kerajaan negeri sentiasa hargai sumbangan semua pihak. Cuti peristiwa kalau menang, saya belum boleh bayangkan. Saya akan beri dorong lagi kepada pemain malam ini.
“Saya doakan agar pasukan Selangor dapat mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia dan saya melihat sendiri latihan yang telah pemain lalui.
"Dan minggu lalu, ketua pasukan datang bertemu saya dan memberikan jaminan bahawa mereka akan fokus pada permainan di padang nanti pada malam Ahad ini,” katanya.
Azmin berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Taman Jenderam Murni di Dengkil di sini hari ini.
Ditanya nasib pemangku jurulatih K. Gunalan yang berjaya membawa Selangor ke perlawanan akhir, Azmin berkata, dalam pasukan, apa yang penting adalah hubungan baik para pemain, ketua pasukan dan jurulatih
“Persefahaman itu amat penting dan saya perlu runding dengan pemain kerana akhirnya mereka yang akan tentukan untuk menguatkan pasukan.
"Bukan saya yang tentukan dan malahan dalam pertemuan dengan ketua pasukan minggu lalu, itu antara perkara yang bincang.
“Selepas Piala Malaysia ini, saya akan duduk lagi berbincang mengenai perancangan hala tuju dan masa depan pasukan.
“Sebagai presiden saya berpuas hati dengan pretasi kerana sudah sekian lama Selangor tidak menjulang Piala Malaysia dan kali terakhir 33 tahun lalu,” katanya.
Selangor akan menentang Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, Selangor pada malam Ahad ini.
Ia merupakan ulangan perlawanan akhir musim lalu yang memihak kepada Selangor apabila menang 2-0 sekaligus menamatkan misi menjulang piala keramat itu selepas kali terakhir pada 33 tahun lalu. -- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan