Jumaat, 28 Oktober 2016

Laporan polis ke atas Muhyiddin atas dakwaan dedah rahsia kerajaan

MALAYSIAKINI


Satu laporan polis dibuat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan mendedahkan "rahsia kerajaan" yang berkaitan dengan 1MDB.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dalam laporannya menyebut Muhyiddin berbuat demikian dalam dua kejadian - minggu ini di Parlimen, dan awal bulan ini dalam sebuah ceramah.

"Beliau melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana semua dokumen yang telah diklasifikasikan mesti kekal rahsia," kata Azwanddin dalam laporannya. Satu salinan laporan diperolehi oleh Malaysiakini.

Azwanddin berkata, tindakan Muhyiddin itu perlu dipandang serius kerana ia ibarat "menghasut rakyat".

Dalam klip video yang dimuat naik oleh KiniTV, Azwanddin bagaimanapun mengakui bahawa tindakan mungkin tidak dapat diambil terhadap Muhyiddin kerana beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan di Parlimen.

Laporan polis hari ini dibuat selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Muhyiddin dan juga bekas rakan anggota kabinetnya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mungkin melanggar sumpah kerahsiaan ketika membahaskan Bajet 2017 di Parlimen.


Tiada ulasan: