Isnin, 31 Oktober 2016

Polis tangguh siasat Ahmad Husni

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pihak polis menangguhkan siasatan terhadap bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sehingga satu tarikh yang dijangka pada minggu hadapan.
 
Ahmad Husni sepatutnya merekodkan keterangannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 2.30 petang hari ini.
 
Beliau tiba pada pukul 2.15 petang dan meninggalkan Bukit Aman 15 minit kemudian.
 
Memetik laporan Malaysiakini, bekas menteri itu dilihat turut memegang salinan peraturan tetap Dewan Rakyat dan beberapa dokumen lain.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, tiga bekas menteri akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung dakwaan melanggar sumpah kerahsiaan ketika membahaskan Belanjawan 2017.
 
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Husni, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Shafie Apdal mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan dengan mendedahkan perbincangan kabinet.
 
Ketiga-tiga mereka menyentuh mengenai 1MDB semasa perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
 
Malah terdapat dua NGO Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab Sahabat Najib (N87) Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap mereka.
 
 

Tiada ulasan: