Khamis, 27 Oktober 2016

Curi Pasir: Lori, Jenkaut Bernilai RM2 Juta Dirampas

MALAYSIAN DIGEST



MIRI - Polis telah membongkar kegiatan mencuri pasir di litar lumba go kart Permyjaya serta merampas 20 lori serta dua jenkaut bernilai lebih RM2 juta, jam 8 pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-12 Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, atas maklumat serta intipan selama seminggu 20 buah lori ditahan pada pagi ini dengan 10 sudah diisi dengan pasir manakala 10 lagi masih kosong menunggu untuk diisi dengan pasir.

"Siasatan mendapati pasir yang dicuri ialah milik kerajaan negeri untuk dibawa bagi projek pembinaan Poliklinik kerajaan di jalan Padang Kerbau," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Selain daripada lori dan jenkaut, beliau berkata, seramai 22 pemandu lori termasuk pemandu jenkaut berumur 30an-50an telah ditahan polis untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama dengan Jabatan Tanah dan Survei Miri itu mendapati kontraktor yang bertanggungjawab ke atas lori-lori tidak mempunyai permit untuk membawa pasir dan ini menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32 (a) Kanun Tanah Sarawak. - Bernama


Tiada ulasan: