Sabtu, 29 Oktober 2016

Keretapi tergelincir: Penumpang bengang bas transit tak cukup

 
Kebanyakan mereka termasuk penumpang yang mahu menyambut perayaan Deepavali mendakwa terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dapat menaiki bas ke Stesen Keretapi Ipoh.


ktmb


KAMPAR: Para penumpang Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) kesal kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak menyediakan bas transit mencukupi untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing, susulan insiden tren kargo tergelincir di Kampung Bakap berhampiran Stesen Keretapi Batu Gajah awal pagi semalam.

Kebanyakan mereka termasuk penumpang yang mahu menyambut perayaan Deepavali mendakwa terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dapat menaiki bas ke Stesen Keretapi Ipoh.

S. Shamila Devi, 34, yang bertugas sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur berkata beliau terpaksa menunggu bas transit hampir 2 jam di stesen berkenaan untuk pulang ke Taiping bagi menyambut Deepavali hari ini.

Katanya, beliau tiba di stesen berkenaan kira-kira 7 malam tetapi sehingga 9.30 malam, beliau masih belum dapat menaiki bas yang disediakan.

“Sepatutnya KTMB menyediakan lebih banyak bas kerana mereka tahu jumlah penumpang yang terkandas di sini berdasarkan jualan tiket,” katanya semasa ditemui di Stesen Keretapi Kampar di sini, malam tadi.

N. Ramesh, 37, pula berkata beliau bersama isteri serta 2 anaknya dalam perjalanan dari Seremban ke kampungnya di Ipoh untuk menyambut Deepavali.

Katanya, KTMB memberi penerangan berhubung kelewatan ETS dan perkhidmatan bas yang disediakan tetapi beliau tidak menyangka pengangkutan itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang.

“Tak sangka kejadian sebegini berlaku pada malam perayaan Deepavali… anak saya masih kecil dan mereka tidak selesa dengan keadaan begini kerana terpaksa menunggu lama,” katanya.

Shariff Abdul, 45, pula kecewa dengan cara pihak pengurusan KTMB menangani masalah itu yang dianggapnya dibuat tanpa pelan kontingensi.

“Sudah lebih setahun saya menaiki ETS untuk berulang alik dari Tanjung Malim ke Butterworth, perkhidmatannya tidak pernah mengecewakan namun, insiden sebegini menunjukkan seolah-olah KTMB tidak menyediakan pelan kontingensi.

“Saya cuba menaiki teksi ke Ipoh sebelum menaiki tren seterusnya ke Butterworth tetapi tambang yang diminta tidak masuk akal,” katanya.

Kira-kira 10 malam tadi, semua penumpang yang terkandas di stesen berkenaan dibawa ke Stesen KTM Ipoh.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat KTMB Siti Badariah Wan Hanafi ketika dihubungi berkata pihaknya menyediakan 36 bas untuk membawa penumpang yang terkandas ke Stesen Keretapi Ipoh dan Kampar.

“Perkhidmatan bas yang disediakan mencukupi cuma berlaku sedikit kelewatan kerana jalan raya sesak memandangkan orang ramai mula bercuti sempena Deepavali esok,” katanya.

Beliau berkata kerja membaik pulih landasan bagi laluan tren Ipoh-Kampar-Ipoh sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil masa selama 48 jam.

Dalam kejadian 3.15 pagi semalam, 2 lokomotif dan 25 gerabak kosong dalam perjalanan dari Kuang, Selangor ke Tasek, Ipoh tergelincir dan menghalang laluan tren arah utara dan Selatan.

Tiada ulasan: