Isnin, 31 Oktober 2016

Akta 355: PAS tetap optimis, harap sempat dibahas

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS masih menaruh harapan agar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 sempat dibahas pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.
 
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman semalam merupakan pendapat peribadi dan tidak mewakili keputusan Parlimen.
 
"Saya masih optimis. Masih menaruh harapan. Itu perkara biasalah.
 
"Itu pendapat dia (Azalina). Bukan mewakili keputusan parlimen (keseluruhan)," katanya.
 
Dalam pada itu, Takiyuddin turut berkata bahawa sekiranya Akta 355 tersebut tidak dapat dibahas pada sesi kali ini, PAS tetap positif dengan keputusan tersebut seterusnya menunggu untuk sesi yang akan datang.
 
"Kalau tidak sempat, kita tunggu sesi akan datang. Kita harap yang terbaik. Kita masih berharap agar dibahas pada sesi kali ini," tambah beliau lagi.
 
Semalam, Azalina berkata, Akta 355 mungkin tidak sempat dibahaskan di Dewan Rakyat pada sesi kali ini.
 
Ujarnya, Dewan hanya mempunyai baki dua hari lagi selepas perbahasan Bajet 2017 selesai dan urusan kerajaan perlu didahulukan.
 
Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung sehingga 24 November. 
 
Sebanyak 6 hari diperuntukkan untuk rang undang-undang dan urusan kerajaan lain, manakala 23 November hingga 24 November diperuntukkan untuk urusan lain.
 
 

Tiada ulasan: