Isnin, 31 Oktober 2016

Umno serah kepada Peguam Negara ambil tindakan terhadap tiga bekas menteri

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan ke atas tiga bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan. 
 
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata tiada siapa yang terkecuali atau terlepas dari undang-undang apabila didakwa mendedahkan rahsia kerajaan kepada umum. 
 
Beliau berkata, saranan ini bukan dibuat atas kepentingan peribadi sebaliknya jika dakwaan itu patut disiasat dan tindakan itu harus diteruskan. 
 
"Saya langsung tidak berdendam terhadap mereka bertiga. Mempertahankan ketua iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tanggungjawab saya dan ianya normal. 
 
"Oleh itu, saya mengambil langkah untuk berhadapan dengan tohmahan tiga menteri itu secara fakta dan bukannya dengan fitnah yang sekali gus membunuh karakter seseorang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Akar Umbi, di sini.
 
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
 
Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.
 
 

Tiada ulasan: