Sabtu, 29 Oktober 2016

TMJ ugut dedah dakwaan rasuah FAM di luar negara pula

MALAYSIAKINI


Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran untuk menceritakan dakwaan rasuah yang berlaku dalam FAM di luar negara pula.

Tunku Mahkota Johor berkata beliau mempertimbang berbuat demikian dalam Sidang Kemuncak Bola Sepak di Madrid, Sepanyol yang bermula semalam.

Tunku Ismail dijadual memberi ucapan pada persidangan tersebut dan kini mendakwa FAM mahu mengenakan tindakan tatatertib kepada JDT bagi menyelamatkan PDRM dan membantu Pahang dalam Liga Super.

"Saya yang kini berada di Madrid, di mana saya ingin memberi ucapan tentang usaha kita membantu bola sepak tanah air Malaysia dan bola sepak di Asia Tenggara serta beritahu mereka mengenai pencapaian JDT.

"Dan buat masa ini jikalau macam inilah perangai orang FAM, saya akan tukar fikiran," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, semalam.

Terdahulu, Tunku Ismail mendakwa JDT tidak dimaklumkan bahawa pemain importnya, Juan Martin Lucero tidak boleh bermain kerana digantung perlawanan ketika bertemu PDRM, 16 Ogos lalu.

Susulan itu, PDRM menghantar surat bantahan kepada FMLLP selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan JDT menurunkan pemain yang sepatutnya digantung.

Menulis di Facebook, Tunku Ismail berkata, beliau akan ceritakan di mata dunia, seluruh dunia betapa "korupnya" FAM.

"Apabila saya sampaikan, dengan secara tidak langsung akan menjatuhkan air muka negara.

"Saya mahu bertanya, adakah mereka mahu air muka bola sepak tanah air ini jatuh oleh kerana mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan korup ini? Pilihan itu ada di atas tangan mereka," tegasnya.

Sementara itu tambah beliau, FAM terpaksa memotong mata JDT untuk menyelamatkan pasukan Pahang.

"Mereka perlu menghukum JDT. Ini kerana jika tidak memotong mata JDT, PDRM akan protes kenapa Pahang boleh membuat bantahan selepas 72 jam tetapi PDRM tidak boleh?

"Sepatutnya bukan PDRM yang tersingkir. Tetapi pasukan yang telah membuat bantahan selepas 72 jam iaitu melanggar statut FAM dan undang-undang.

"Saya berjanji akan membunuh korupsi dalam FAM, membantu bola sepak tanah air dan pasukan kebangsaan," katanya.

Tunku Ismail sebelum ini membuat dakwaan menggemparkan bahawa beliau mempunyai bukti terhadap dakwaan rasuah 30 dalam FAM dalam satu pendrive.

Ia kemudian disampaikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Suruhanjaya itu bagaimanapun kemudian berkata tiada sebarang unsur rasuah.

Tiada ulasan: