Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Terdapat dua alternatif
yang boleh digunapakai untuk membantu rakyat kebanyakan memiliki aset
hartanah, menurut pakar ekonomi, Prof Madya Dr Barjoyai Bardai.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam
berhubung dasar Selangor mengenakan premium tanah dan caj pembangunan
yang tinggi hingga menyebabkan rakyat sukar untuk memiliki rumah
sendiri.
"(Pertama) Kita ubah perspektif pemilikan tanah. Daripada memilikinya
selama-lamanya (freehold) atau 99 tahun kepada tempoh yang lebih
singkat, misalnya 60 tahun, 30 tahun. Dengan cara itu nilai premium
tanah menjadi lebih murah, seperti sewa jangka panjang. Maka membolehkan
lebih ramai orang membeli rumah," ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
"(Kedua) Satu lagi cara menerusi koperasi perumahan. Yang mana
contohnya, kita kumpulkan seribu orang yang hendak membeli rumah, kita
tubuh koperasi dan beri satu kawasan tanah yang murah, dan mendapat
bantuan kerajaan negeri. Kemudian koperasi ini membina rumah dengan
pembiayaan yang juga boleh dibantu pengurusan kerajaan.
"Apabila ia sudah siap maka ahli-ahli koperasi memasuki rumah dengan
membayar sewa bulanan yang berasaskan kos perumahan dan pembangunan,
yang mana lebih murah berbanding harga pasaran," katanya lagi.
Menjelaskan alternatif kedua itu, Barjoyai berkata bayaran sewa bulanan
itu perlu dilunaskan ahli-ahli koperasi dalam tempoh tertentu sebagai
bayaran balik pinjaman koperasi tersebut.
"Jika koperasi sebegini boleh
ditubuhkan di setiap kawasan yang memerlukan perumahan, maka kita akan
dapat lihat tekanan untuk mendapatkan rumah semakin berkurang," jelas
Barjoyai.
Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar turut mencadangkan agar Selangor
menurunkan harga premium tanah kepada pemaju bagi membolehkan golongan
itu menjual rumah kepada pembeli dengan harga yang lebih murah.
Namun cadangan Noh itu tidak begitu praktikal kerana kebiasaannya
golongan pemaju gemar menyerap kelonggaran yang diberikan kepada mereka,
kata Barjoyai yang juga Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR).
"Kita boleh anggap ia sebagai salah satu cara. Maknanya apabila harga
premium tanah menjadi rendah, maka kos pembangunan akan direndahkan dan
harga rumah boleh jadi murah.
"Namun biasanya, pemaju mempunyai formula tersendiri dalam mengira
harga rumah. Jika itu berlaku, banyak keuntungan akan diambil oleh
pemaju," katanya lagi.
Buat masa ini kerajaan negeri Selangor dibawah pemerintahan Datuk Seri
Azmin Ali menetapkan 30 peratus daripada kawasan dimajukan perlu dibina
rumah mampu milik.
Bagaimanapun, kerajaan negeri itu tidak memberikan sebarang subsidi
kepada pemaju bagi membantu mengurangkan kos pembinaan rumah, ujar Noh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan