Jumaat, 28 Oktober 2016

Tiga kali bahan kimia yang sama sebabkan pencemaran sungai bukti perbuatan sabotaj, kata Exco

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Tiga kali pencemaran sungai berpunca daripada bahan kimia yang sama menunjukkan ada 'muslihat politik' yang cuba ditekan ke atas kerajaan negeri Selangor, kata Exco negeri itu, Ean Yong Hian Wah.
 
ADUN Seri Kembangan itu berkata, pihak yang cuba mensabotaj bekalan air bersih kepada lebih sejuta pengguna itu, bermatlamat mahu memburukkan nama Selangor, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
Ean berkata pihak tidak bertanggungjawab itu sebelum ini berbuat demikian berhampiran sebuah kilang haram di Selangor dan kemudiannya beralih ke negeri lain untuk melancarkan sekurang-kurangnya dua kali lagi serangan.
 
Sehubungan itu, pengerusi jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru dan penyelesaian kilang haram Selangor itu berkata, kerajaan negeri tidak patut dipersalahkan atas masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Selangor.
 
“Kalau tidak ada kilang-kilang haram di Selangor sekalipun, air tetap akan tercemar jika ada orang berniat mensabotaj,” katanya yang menafikan sumber bekalan air kerap tercemar disebabkan kerajaan negeri tidak mengawal kewujudan kilang haram.
 
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada kilang haram di sekitar sumber bekalan air, tetapi ada yang terletak di kawasan terpencil dan tidak mudah dikesan, menyebabkan pihak berkuasa terlepas pandang, walaupun penguatkuasaan sering dijalankan.
 
Masalah gangguan bekalan air berlaku di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, ekoran penutupan LRA Semenyih, Langat dan Cheras sejak bulan lalu, akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Semantan di Pahang.
 
Akhir bulan lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggantung seorang pekerjanya pada 6 September lalu kerana disyaki terlibat dalam perbuatan khianat menyebabkan gangguan bekalan air hingga menjejaskan 340,000 pengguna di Klang dan Petaling, 1 September lalu.
 
 

Tiada ulasan: