Jumaat, 28 Oktober 2016

Pindaan Akta 355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan - Sallehuddin Saidin

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 seperti yang ingin dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Seorang pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pindaan tersebut hanya untuk menaikkan kadar hukuman terhadap kesalahan yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah seperti mana yang termaktub dalam senarai negeri.  
 
Pindaan tersebut tidak akan menyentuh mengenai kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat iaitu jenayah awam seperti mencuri, merompak, merogol dan sebagainya, jelas Sallehuddin. 
 
"Akta 355 telah digubal Parlimen, dan kuasa yang diberikan di bawah akta itu sendiri tidak ada yang tak konsisten dengan Perlembagaan sebab ia dah kata dengan jelas dalam Seksyen 2, bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya bagi mendengar kes-kes yang tersenarai di bawah Jadual 9 Perkara 1, Senarai Negeri.
 
"Ikut undang-undang syariah, kalau kita pinda, yang pindaan tak boleh kita katakan sebagai bercanggah dengan perlembagaan sebab ianya tidak langsung menyentuh kuasa kerajaan persekutuan. Tidak ada," katanya dalam satu temubual dengan Antarapos.
 
Justeru kata Salehuddin, dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pindaan terhadap Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, langsung tidak berasas. 
 
Beliau juga menjelaskan, tidak timbul soal dua set undang-undang bakal wujud ekoran langkah meminda Akta 355, seperti yang dimomokkan sesetengah pihak.
 
"Tapi ada pihak mengatakan mengapa ada dua set undang-undang, satu untuk orang Islam dan satu bukan Islam. 
 
"Kita tak kata ia dua set undang-undang kerana dah dinyatakan dalam Perlembagaan, bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan orang awam seperti merompak, mencuri, merogol, bunuh, dadah dan sebagainya, ini kesalahan yang dibawah kuasa erajaan Persekutuan, yang mana ia terpakai kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
 
"Tapi Mahkamah Syariah bidang kuasanya hanya khusus kepada orang Islam, yang mana ianya melibatkan undang-undang peribadi," kata beliau.
 
Tambah peguambela dan peguamcara itu lagi, proses untuk meminda Akta 355 masih 'panjang' dan sekiranya ia diluluskan di Parlimen, tidak semestinya ia automatik terpakai kepada seluruh negeri.
 
"Kita kena ingat, walaupun mendapat kelulusan di Dewan Rakyat atau Parlimen, ia masih tak bermakna negeri-negeri terpinda undang-undang mereka.
 
"Sebab, undang-undang berkaitan Islam, kuasanya terletak kepada negeri, setiap negeri ada enakmen kesalahan jenayah tersendiri. Sekarang, bidang kuasa Mahkamah Syariah setiap negeri tertakluk kepada apa yang ada sekarang iaitu 3,5,6.
 
"Ia terpulang kepada DUN sendiri, sama ada mereka nak pinda enakmen mereka untuk selaras atau menambah hukuman bagi kesalahan yang mereka ada bidang kuasa, pada kadar seperti mana yang diperuntukkan undang-undang syariah. Jadi kena bahas semula di dewan negeri untuk pinda enakmen negeri itu sendiri," katanya lagi. 
 
PAS menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk mencadangkan pindaan terhadap Akta 355, bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Ia bagi menaikkan kadar hukuman Mahkamah Syariah yang  ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan.
 
PAS menegaskan hukuman yang dikenali sebagai 3,5,6 itu dilihat tidak memberi kesan kepada pesalah, malah ia juga tidak menepati hukum syarak.

Tiada ulasan: