Khalid Samad
Kepimpinan politik Melayu telah berada di tangan Umno sekian lama.
Walaupun Umno telah dilanda berbagai skandal dan masalah, namun secara
umumnya, masyarakat Melayu masih menerima kepimpinan Umno. Kedudukan
Umno sebagai parti bangsa Melayu telah pada waktu tertentu tercabar, itu
pun hasil dari perpecahan yang telah berlaku dalam Umno. Parti serpihan
Umno, bermulanya dengan PAS, kemudian Semangat 46 dan PKR telah
menghakis sokongan Melayu terhadap Umno, tetapi hanya untuk seketika.
Kemudiannya sokongan tersebut telah kembali pada Umno walaupun Umno
terus dikaitkan dengan corak kepimpinan yang korup dan rasuah.
PAS yang telah wujud sejak tahun 50an dilihat secara tradisinya
sebagi saingan pada Umno. Namun, setelah 60 tahun telah tetap tidak
berjaya mencabar kedudukan Umno sebagai parti politik utama orang
Melayu. Kecuali hanya di daerah dan negeri tertentu. Secara umumnya
dianggarkan tidak sampai 30 peratus masyarakat Melayu bersama PAS. Itu
pun sokongan tersebut tercapai hanya sejak tahun 1998 sedangkan sebelum
itu sokongan PAS hanya terdapat di negeri Kelantan, Terengganu serta
Kedah dan Perlis.
PAS mengaku tak mampu?
Keadaan ini mungkin antara sebab mengapa PAS sudah berubah
pendekatan, kecewa dengan kegagalan mendapatkan sokongan majoriti
Melayu, maka mula bermesra dengan Umno. Sepertimana yang dikatakan
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang :“Nakkan undi Umno, perlu berbaik
dengan Umno”. Kata-kata itu dengan sendirinya menzahirkan kesimpulan
bahawa cara selama ini yang diikuti PAS tidak boleh diguna-pakai.
Sokongan Melayu terhadap Umno begitu kental dan tidak boleh berubah
dengan PAS melawan Umno. PAS mesti berkawan dengan Umno.
Malangnya tindakan sebegitu menyebabkan PAS berpecah. Ingin tambah
undi melalui pendekatan baharu tetapi akhirnya hilang sokongan
sebahagian ahli dan pimpinan sendiri! Sedangkan yang dengan Umno tetap
dengan Umno. Dengan berpecahnya PAS sehingga tertubuhnya AMANAH,
kemungkinan sokongan 30 peratus tersebut telah menjadi tidak lebih dari
20 peratus. Ini yang dikatakan pepatah Melayu, “yang dikendung tercicir,
yang dikejar terlepas”.
Wujudnya PKR
Dengan wujudnya PKR (dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan
Nasional) pada tahun 1998, maka sokongan Melayu terhadap Umno turut
terhakis lagi. Pada awalnya, sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim
dipecat dan muncul dengan mata lebamnya, hampir 30 peratus masyarakat
Melayu bersama PKR.
Ini menyebabkan pada tahun 1999, lebih 50 peratus
undi Melayu telah bersama gabungan Barisan Alternatif (BA) apabila
dicampurkan sokongan Melayu pada PAS dan PKR. Namun undi bukan Melayu
pula tidak bersama BA pada ketika itu. Maka, undi bukan Melayu
menyelamatkan Umno/BN dalam pilihan raya tersebut.
Dalam keadaan sekarang Melayu yang bersama PKR mungkin tidak lebih
dari 20 peratus. Itulah sebabnya apabila dicampurkan sokongan Melayu
terhadap PAS dan PKR, ianya sekadar lebih kurang 40-45 peratus sahaja
sepertimana undi yang diperolehi pada pilihan raya 2008 dan 2013.
Melayu tetap bersama Umno?
Keadaan di mana sokongan majoriti Melayu tidak berganjak dari Umno
terus menjadi sesuatu yang menghairankan ramai. Apa yang perlu dilakukan
sehingga Melayu boleh dibawa berhijrah dari Umno?
Kalau ingin terlebih dahulu melihat pemimpin Umno melakukan rasuah
dan penyelewengan, baru mahu tinggalkan Umno, ini sudah pun berlaku
secara besar-besaran. Kalau ada rekod dunia untuk rasuah dan
penyelewengan, saya yakin Malaysia akan mendapat emas.
Kerajaan tidak akan berjaya ditukarkan tanpa berlakunya anjakan
sokongan Melayu dari Umno kepada pihak yang lain. Sedangkan Melayu tetap
bersama Umno/BN!
Soal keyakinan?
Tetapi ada juga yang mengatakan ianya soal ‘keyakinan’. Keyakinan
terhadap kemampuan pemimpin ‘Melayu pembangkang’ berbanding pemimpin
Melayu Umno. Khususnya ketidakyakinan rakyat Melayu terhadap kemampuan
kepimpinan Melayu pembangkang menangani kepimpinan bukan Melayu
pembangkang! Mengikut pandangan mereka, teruk macam mana sekalipun Umno,
Umno tetap menguasai BN. Melayu Umno mendominasi bukan Melayu dalam BN.
Adakah Melayu pembangkang dapat mempertahankan kepentingan dan hak
Melayu dalam gabungan pembangkang? Ini yang dikatakan sebagai
kekhuatiran utama.
Ada yang memahami tindakan PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dari
sudut ini. Ada yang melihatnya sebagai pengakuan ketidak-mampuan
pimpinan utama PAS khususnya presidennya untuk berhadapan dengan
pemimpin-pemimpin DAP. Dalam keadaan takut PR akan dikuasai yang bukan
Islam dan bukan Melayu, maka PAS mencari alasan untuk keluar dari PR dan
dimulakan penubuhan Blok ke-3 yang dapat dikuasai PAS. Pendekatan ini
digabungkan pula dengan pendekatan mesra Umno.
Namun demikian, kurang keyakinan diri yang menghasilkan tindakan
sebegini, tetap tidak mampu melepaskan Melayu dari genggaman kepimpinan
Umno. Sebaliknya ianya mengukuhkan kedudukan Umno apabila imej Umno
telah sedikit sebanyak ‘dibersihkan’ oleh pimpinan PAS. Sememangnya imej
Umno amat sangat perlu dibersihkan. Dan apabila ianya sudah
dibersihkan, maka genggaman Umno ke atas Melayu akan bertambah kukuh.
Pada ketika itu Umno tidak perlu lagi kepada PAS dan apakah yang akan
terjadi kepada PAS ketika itu?
Perubahan melanda politik Melayu
Tetapi yang lebih penting dari melihat kepada tindakan kecewa dan
hilang keyakinan diri PAS adalah melihat pada apa yang telah berlaku
dalam arena politik Melayu sejak itu. Tanpa diketahui atau dirancang,
perubahan senario politik Melayu bergolak lagi. Selain penubuhan AMANAH,
telah turut muncul juga BERSATU. Maka perjuangan untuk membebaskan
Melayu dari genggaman Umno mampu diteruskan lagi walaupun PAS masih
belum lagi bersama. Malahan tanpa PAS, mungkin ianya bergerak dengan
lebih cergas lagi.
Kalau dilihat sekarang ini, kepimpinan Melayu pembangkang terdiri
dari satu senarai nama yang mengkagumkan. Ianya mengandungi nama-nama
seperti Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri (1993 - 1998), Tun
Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri (1982 -2004) dan Tan Sri
Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri (2014- 2016). Begitu
juga turut disenaraikan nama pemimpin-pemimpin yang tidak kurang
hebatnya berbanding senarai pimpinan Umno. Orang-orang seperti Mohamad
Sabu, seorang yang terbukti istiqamahnya memperjuangkan kepentingan
rakyat, Datuk Seri Azmin Ali, Salahuddin Ayub, Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail, Nurul Izzah Anwar, Dr Siti Mariah, Dr Dzulkifli Ahmad, Datuk Dr
Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan sebagainya turut tersenarai.
Kesemuanya pemimpin Melayu yang berkaliber.
Turut juga bersama adalah dua bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia
iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Begitu juga
cendiakawan dan ilmuan Islam seperti Dr. Siddiq Fadhil dan Dr. Mohd Nor
Manuti serta ramai lagi.
Kepimpinan sudah ada, mahu apa lagi?
Berdasarkan senarai nama yang sebegini rupa, apa lagi yang diinginkan
Melayu sebelum sanggup memberanikan diri ke arah perubahan? Dalam
bahasa mudah, “Apa lagi Melayu mahu?” sebelum berani bertukar?
Suasana kebobrokan begitu mendesak supaya perubahan berlaku. Apa
alasan yang munasabah untuk Melayu terus ketakutan? Sedangkan keperluan
untuk perubahan telah Allah Taala sediakan!
Kita semua tahu bahawa sekiranya sokongan Melayu terhadap Umno tidak
berpindah, maka perubahan tidak akan berlaku. Umno/BN akan terus
memerintah sambil pemimpin negara akan terus merompak harta rakyat.
Keadaan akan menjadi semakin sukar dan Negara akan hanya bertambah dalam
hutangnya.
Pendapatan akan semakin mengecil serta akhirnya rakyat akan
semakin terbeban dan kebanyakan rakyat yang terbeban itu adalah rakyat
Melayu.
Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa bangsa utama negara
kita ini iaitu bangsa Melayu akan berani berubah. Semoga mereka akan
yakin dengan kemampuan bangsa sendiri dan kepimpinan Melayu pembangkang
yang telah dikurniakan Allah Taala sekarang. Oleh itu, dengan apa yang
telah Allah Taala sediakan maka tiada lagi sebarang alasan Melayu untuk
terus mengekalkan Umno/BN.
KHALID SAMAD adalah ahli parlimen Shah Alam dan
tulisan ini telah diterbitkan di dalam akhbar AMANAH Bil. 22 (23-29
Oktober) yang sedang berada di pasaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan