Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor hari ini membentangkan bajet
defisit bagi tahun 2017 yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM900
juta, dalam tempoh lapan tahun sejak PKR mengambil alih pada tahun 2008.
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan bajet tersebut
pada sidang DUN Selangor hari ini memberitahu, peningkatan defisit itu
berpunca daripada peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan
untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk
rakyat.
Untuk rekod, bajet defisit bagi tahun 2016 mencatat jumlah RM630 juta.
Bertemakan 'Membangun Bangsa, Memakmur Negeri', kerajaan negeri
mengganggarkan perbelanjaan negeri berjumlah RM3.450 bilion untuk tahun
2017 bagi melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.
"Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan Tahun 2017
berjumlah RM3.450 bilion bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda
Kerajaan Negeri.
"Daripada jumlah itu, RM1.65 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan
mengurus dan RM1.8 bilion atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan
pembangunan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2017 negeri itu di
sini hari ini.
Beliau mendakwa ini adalah perbelanjaan pembangunan yang terbesar diperuntukkan di Selangor.
Sementara itu, menurut Azmin lagi, skim air percuma diteruskan dengan
peruntukan sebanyak RM 183.2 juta untuk program berkenaan bagi tahun
2017.
Malah Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar air
tidak berhasil (NRW) daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019.
"Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah
RM324 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program
penggantian paip-paip lama di 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5
kilometer untuk tempoh tiga tahun mulai tahun 2016," katanya.
Kerajaan Negeri juga menurut Azmin akan meningkatkan peruntukan kawalan
dan pencegahan denggi dan zika bagi tahun 2017 kepada RM5 juta
berbanding hanya RM1.5 juta pada 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan