KUALA LUMPUR: Tun Mahathir Mohamad, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Tan
Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara rasmi menyertai pemimpin
pembangkang dan aktivis untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam ucapannya Mahathir yang membakar jambatannya dengan Umno untuk
kali kedua, akur beliau berkongsi pentas dengan pembangkang dan aktivis
yang berlainan perjuangan.
“Namun kita semua di sini sebagai rakyat Malaysia. Kita tidak mewakili
mana-mana parti atau NGO,” kata Mahathir sebelum menandatangani
deklarasi menolak pentadbiran Najib di Rumah Kelab Persatuan Alumni
Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Antara pemimpin pembangkang kelihatan di majlis yang berjudul
“Selamatkan Malaysia” setakat ini adalah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Seri
Azmin Ali (PKR), Datuk Mustafa Ali, Mahfuz Omar (PAS), Datuk Kamaruddin
Jaafar (PKR), Tian Chua (PKR), Mohamad Sabu dan Sallehudin Ayob (Parti
Amanah Negara).
Bagaimanapun tiada ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada
majlis berkenaan walaupun Ketua Umum PKR itu, semalam menyatakan
sokongan terhadap usaha Mahathir melancarkan gerakan bagi menjatuhkan
Najib.
Selain pembangkang, beberapa aktivis seperti Datuk S. Ambiga dan Maria Chin Abdullah turut hadir pada majlis itu.
Kesemua mereka sebelum ini adalah pengkritik paling lantang Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menerajui negara dan Umno.
Dokumen berjudul Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 58 pemimpin
pembangkang, aktivis dan bekas wartawan banyak mengitar semula
tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion.
Dengan menandatangi deklarasi itu, Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin
sekaligus menzahirkan kesediaan mereka untuk melaksanakan agenda
pembangkang seperti pemansuhan undang-undang yang dilihat bercanggah
dengan hak asasi serta rombakan semula institusi-institusi seperti
polis, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz menyertai program anti-Najib ini
setelah dilihat gagal memujuk akar umbi Umno untuk memberi tekanan
kepada Najib.
Muhyiddin yang digantung sebagai timbalan presiden parti semalam
berkata beliau akan memberikan sokongan kepada sebarang program yang
difikir membawa kebaikan untuk negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan