Sabtu, 14 Mac 2015

Pengarang Sarawak Report sertai forum 1MDB esok, kata Tony Pua

THE MALAYSIAN INSIDER


 Pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown akan menghadiri forum ‘1MDB: The Ultimate Low Down’ berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok secara telesidang video esok. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2015. Pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown akan menghadiri forum ‘1MDB: The Ultimate Low Down’ berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok secara telesidang video esok. – Gambar fail The Malaysian InsiderRakyat Malaysia akan berpeluang mendengar secara langsung mengenai syarikat yang sarat dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, pada satu forum esok.

Wartawan penyiasatan yang berpengkalan di Britain itu akan menyertai dua lagi pengkritik tempatan dalam forum
"1MDB: The Ultimate Low Down" yang akan diadakan melalui telesidang video, kata Ketua Publisiti DAP Tony Pua.

Dua lagi ahli panel ialah Pua sendiri, yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, yang juga ahli Parlimen Pandan.


"Seperti yang kita tahu, pendedahan dibuat laman web Sarawak Report memberi bukti penting – dalam bentuk dokumen rahsia dan perbualan e-mel – untuk mempertahankan pelbagai kritik dibuat terhadap 1MDB sejak beberapa tahun lepas," kata Pua.

Katanya, Brown mungkin mendedahkan lebih informasi mengenai 1MDB pada forum jam 3 petang di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya esok, berdasarkan ribuan dokumen berkaitan syarikat milik kerajaan itu yang didakwa dimilikinya.

"Perbincangan itu akan dikendalikan oleh Cynthia Gabriel, pengarah eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4)," kata Pua yang menjemput semua rakyat Malaysia menyertai forum itu.

Sarawak Report sejak beberapa minggu lalu lantang membuat satu siri pendedahan mengenai 1MDB, dengan Brown baru-baru ini berjanji dalam satu temu bual media yang terdapat banyak lagi yang akan didedahkan.

Sarawak Report mendakwa, ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan PetroSaudi International (PetroSaudi) sebagai topeng untuk membawa keluar AS$700 juta daripada 1MDB.

Ia juga mendakwa Low yang menjadi dalang di sebalik usaha sama antara kedua-dua syarikat, yang menyebabkan 1MDB terpaksa membayar balik pinjaman kepada PetroSaudi, tetapi dana itu didakwa disalurkan ke sebuah syarikat lain, Good Star Limited, yang dikuasai Low.

Low, PetroSaudi dan 1MDB sejak itu menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan, manakala Kabinet pada 4 Mac membersihkan 1MDB, mengatakan dakwaan itu hanya membabitkan pihak luar dan bukan syarikat pelaburan strategik itu.

Bagaimanapun, berikutan tekanan demi tekanan yang diterima, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Ketua Audit Negara akan menjalankan audit bebas terhadap akaun 1MDB dan laporan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Najib juga berjanji tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang salah laku

.

Tiada ulasan: