Selasa, 3 Mac 2015

Liwat II: Sesi penerangan dibuat tertutup


Jamawi Jaafar Jamawi Jaafar
 
 
SHAH ALAM - Pemuda Umno akan tetap meneruskan sesi penerangan kes liwat II kepada orang ramai yang mahukan penjelasan lanjut secara tertutup tanpa publisiti.

Ketua Penerangannya, Jamawi Jaafar berkata, siri jelajah seluruh negara yang diadakan secara besar-besaran di Kelana Jaya dan Permatang Pauh itu merupakan sesi terakhir yang diadakan secara terbuka.

Menurutnya, jentera Pemuda Umno akan bergerak memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang mahukan penjelasan hanya dalam skala kecil.

"Sesi dalaman ini dijalankan tanpa ketua pendakwa raya kes, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Kita tidak namakan 'roadshow' sebab 'roadshow' ini dari negeri ke negeri. Kita tidak mahulah popularkan nama (Datuk Seri) Anwar Ibrahim di luar.

"Tapi kita buat secara dalaman program penerangan ini untuk memberi kefahaman termasuk kepada ahli-ahli dan semua jentera penerangan Pemuda Umno," katanya kepada Sinar Online.

Bulan lalu, siri jelajah yang berlangsung di Permatang Pauh kecoh apabila penyokong BN dan pembangkang bertikam lidah, menjerit dan maki-hamun antara satu sama lain di luar pekarangan Politeknik Seberang Perai.

Sementara itu, Jamawi tidak menafikan bahawa penjelasan dalam skala kecil itu bagi mengelak kekecohan sama berulang.

"(Elak kecoh?) Ya, kita tidak war-warkan, tidak iklankan dan tidak buat publisiti kerana jika kita war-warkan, orang tidak nampak publisiti itu untuk program penerangan tersebut namun orang nampak publisiti itu lebih kepada Anwar Ibrahim. Jadi, itu yang kita nak dielakkan. Kita tak buat skala besar seperti di Kelana Jaya atau di Permatang Pauh.

"Bagi kita, dia sudah menjalani hukuman, itu hukuman dialah. Cuma kita nak menjawab kononnya ini adalah konspirasi kerajaan...ini adalah penganiayaan untuk Anwar. Itu yang kita jawab," katanya.

Menyentuh soal sambutan dan penerimaan terhadap sesi penerangan kes itu, Jamawi memberitahu umum kini lebih memahami situasi sebenar ekoran ramai yang tidak membaca keputusan kes tersebut.

"Kita memahami bahawa isu ini diikuti oleh segenap masyarakat Malaysia, kemudian ada pro dan kontra. Ada yang kata perlu ada yang kata tidak perlu lagi (penjelasan). Tapi bagi mereka yang memerlukan penjelasan dan penerangan, kita berikan maklumat tepat.

"Secara umumnya kita tahu bahawa mereka lebih memahami. Sebahagian besar daripada mereka ini sebenarnya tidak pun membaca keputusan kes tersebut. (Selepas penerangan) saya lihat mereka jelas dan mereka lebih sedar bahawa perkara itu sebenarnya adalah kesilapan yang dibuat Anwar Ibrahim sendiri.

"Kita akan teruskan dari semasa ke semasa. Malahan mana-mana pihak yang jemput untuk beri penjelasan kita akan beri. Selagi kita ada permintaan, kita akan teruskan tapi dalam kumpulan skala kecil sahaja tanpa publisiti," katanya.

Tiada ulasan: