Oleh Ng Kee Seng
Bangunan Dewan Undangan Negeri Kelantan sibuk dan sesak pada 18 dan 19 Mac lalu, apabila
pindaan undang-undang ke atas enakmen hudud dibentang, dibahas dan
diluluskan.Bilik Operasi kerajaan negeri ditukar menjadi pusat media
bagi memudahkan kerja kira-kira 100 wartawan, jurugambar dan krew
televisyen.
Jangan dihiraukan satu-satunya Adun PKR yang tidak menghadiri sidang ketika ia berlangsung. Sama ada beliau menyokong atau berkecuali daripada mengundi juga tidaklah menjadi perkara penting.
Namun,
speaker Datuk Abdullah Ya’kub yang tidak berpengalaman patut diberi
teguran kerana menyebabkan kekeliruan ketika meluluskan pindaan. Beliau
ternyata mengambil kesempatan daripada sokongan kesemua 44 Adun
beragama Islam di sanan – 32 daripada PAS, Umno (12) dan PKR (1). Satu
kerusi kosong ekoran Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia.
Tambahan
pula, sokongan 32 Adun PAS sudah mencukupi bagi kerajaan negeri
mendapat apa yang mereka mahukan ke arah pelaksanaan hudud.
Pasti
itulah sebabnya Abdullah mengendalikannya secara sambil lewa dengan
menggunakan kaedah undi suara, bukannya kiraan tangan atau undi rahsia.
Bagaimana beliau hanya boleh bergantung kepada undian suara untuk isu
sepenting ini?
Namun, ketepatan pengisytiharan undi sebulat suara oleh Abdullah boleh dicabar dengan mudah di mahkamah.
Perhatian
kini beralih kepada sama ada PAS berjaya mendapat sokongan dan
kelulusan di Parlimen bagi membolehkannya menguatkuasakan hudud, atau
pun Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Pindaan) 1993 Kelantan.
DAP
bersikap sangat agresif dan anti-Hudud sejak tiga dekad yang lalu.
Namun selaku rakan gabungan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Pakatan
yang berharap dapat menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan, mengapa
ia tidak boleh mula berfikir di luar kotak bagi kebaikan rakyat dan
perpaduan nasional.
Mengapa DAP kekal
agresif – sehingga membawa ancaman kehancuran kepada Pakatan – dan
masih berdegil dengan menafikan hak orang Islam yang mahukan hudud?
Mengapa
DAP tidak mengamalkan apa yang sering diperkatakannya – menjuarai
kebebasan beragama dan demokrasi? Mengapa DAP obses dan tidak
sudah-sudah menentang hudud, dan bukan cuba menyelesaikannya demi
golongan minoriti, terutama yang tinggal di Kelantan. Adakah DAP
anti-Islam?
Selepas 58 tahun mencapai
kemerdekaan, sudah sampai masanya untuk menutup isu agama ini dengan
penyelesaian yang sebenar, dan bukannya berterusan membuktikan siapa
yang lebih “jantan”.
Apakah
sebenarnya yang ditakutkan DAP dan rakyat Malaysia yang anti-hudud?
Undang-undang itu atau pun pelaksanaan dan penguatkuasaannya?
Mengapa
mereka takut dan menolak undang-undang yang menurut PAS bertujuan
untuk mencegah mereka yang berpotensi melakukan jenayah?
Alasan
yang biasa kita dengar adalah hudud akhirnya akan turut dilaksanakan
kepada orang bukan Islam. Itu hanyalah spekulasi dan hal yang remeh.
Prinsipnya
hanya orang Islam yang tertakluk di bawah hudud. Namun bagaimana anda
menguatkuasakan undang-undang Syariah apabila sesuatu jenayah itu
melibatkan orang Islam dan bukan Islam? Itulah aspek yang sepatutnya
diusahakan dan diselesaikan DAP bersama-sama kerajaan negeri PAS.
Saya berada di DUN Kelantan untuk melihat sendiri perjalanannya.
Seorang
pemimpin senior PAS berkata: “Jika jenayah melibatkan orang Islam dan
bukan Islam, kes tersebut akan berada di bawah tanggungjawab polis dan
disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
“Jika
ia hanya melibatkan orang Islam, maka polis boleh segera merujuk kes
itu kepada pihak berkuasa Syariah. Bukankah itu cukup jelas dan adil?
“Begitu
juga dengan isu pelaksanaan dan penguatkuasaan lain. Ia boleh
diselesaikan melalui perbincangan bagi menjamin hudud hanya meliputi
orang Islam dan tidak akan melanggar hak bukan Islam.
“Maka
mengapa orang bukan Islam perlu takut kepada hudud? Hanya orang Islam
yang perlu takut. Orang bukan Islam perlu berhenti masuk campur dalam
hal-ehwal Islam. Mereka sepatutnya mendalamkan pemahaman mereka tentang
hudud dan berhenti memburuk-burukkanya sebagai undang-undang tidak
berperikemanusiaan.”
Beliau juga berkata, hudud mewajibkan pembuktian yang benar-benar kukuh sebelum tertuduh disabitkan.
“Malah hukuman sebat dan potong tangan wajib dijalankan di bawah garis panduan yang amat ketat,” tambahnya lagi.
Adakah
DAP sudah menjalankan usaha untuk berbincang tentang pelaksanaan hudud
bersama-sama PAS? Keengganannya berbuat demikian barangkali ekoran
agenda politiknya sejak tiga dekad yang lalu, sama seperti Umno yang
selama ini menggunakan hudud dan agama untuk memecah-belahkan rakyat.
Sekali
lagi, saya tekankan yang PAS dan pemimpinnya mempunyai hak untuk
melaksanakan dan menguatkuasakan hudud bagi memenuhi kehendak majoriti
masyarakat Islam. Mereka memiliki majoriti di Kelantan – bukankah itu
demokrasi?
Tugas DAP dan kerajaan
negeri Pakatan pula adalah untuk memastikan hudud hanya meliputi orang
Islam, dan orang bukan Islam tidak terkesan.
Begitu
juga dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN yang lain. Mereka
perlu memastikan penguatkuasaan ini berjalan secara adil dan tidak
menjejaskan orang bukan Islam.
Adakah kerajaan BN bertindak adil dan saksama dalam penguatkuasaan agama?
Orang ramai tentunya boleh menjawab soalan itu sendiri!
Melihat
kepada tindakan DAP yang membuat ugutan dan mengancam kestabilan
Pakatan Rakyat, adakah parti itu benar-benar memikirkan kepentingan
negara?
Jika tidak, bagaimana dengan golongan minoriti di Malaysia, khususnya di Kelantan?
(*) Ng Kee Seng percaya dalam demokrasi yang sihat, setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan dalam politik dan pembinaan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan