Isnin, 23 Mac 2015

Jangan asingkan klinik dengan farmasi




Oleh SUBKY LATIF 


LIMA belas tahun lalu saya ke Istanbul. Pagi esoknya saya diserang gout. Amat bisa dan tidak dapat  berjalan.  Saya dibawa ke klinik. Macet Istanbul sama dengan lain-lain bandar raya di dunia. Berengsot motokar hendak sampai ke klinik.
   
Klinik memberi sehelai kertas preskripsinya bagi mendapatkan ubat di sebuah farmasi. Klinik itu mengenakan caj konsultasi perubatan saja. 

Hendak ke farmasi jaraknya tidak jauh, tetapi tidak pula dekat. Gout tidak melayakkan saya berjalan. Jika tidak berjalan pun amat seksa bisanya, apa lagilah berjalan. Susahnya hendak dapat teksi di kota macet itu.
   
Di farmasi diberilah saya ubat. Antaranya ubat cucuk pakai dan buang. Lima atau enam tiub. Lepas digunakan tiub itu dibuang. Satu tiub sepagi.
   
Bagaimana kalau kita tidak ada pengalaman untuk cucuk diri sendiri? Satu masalah yan susah.
    
Nasib baik isteri saya jururawat terlatih. Tidaklah susah dia hendak suntik di bahagian paha dekat dengan punggung. Kalau isteri cikgu atau suri rumah yang tiada kamahiran itu, bukankah suatu yang jadi masalah juga.
    
Ubat itu tidak memberi kesan yang segera. Di klinik dalam negeri, saya diserang gout di tempat yang tidak tentu. Kadang-kadang di Alor Setar, kadang-kadang di Kuala Lumpur, dan pernah juga di Jakarta. Ubat yang diberi di klinik itu juga. Tidak terpaksa terseksa pergi ke farmasi di luar  klinik.
   
Biasanya diberi ubat suntik juga. Doktornya sendiri yang menyucuk jarum ke paha. Tiada lagi suntikan lain. Memadai sekali itu. Sekejap kemudian hilanglah bisanya, Tinggal bengkak saja. Adalah klinik itu bekalkan ubat makan unntuk beberapa hari.
    
Dua jam selepas diinjek saya sudah boleh berjalan. Tidak perlu dipimpin lagi.
    
Senangnya saya jadi rakyat Malaysia yang tidak terpisah klinik  dengan farmasi.
   
Akan ubat cucuk di Turki tadi, tiga empat hari tidak hilang lagi sakitnya.
    
Tidak dapat kita hendak kata, kerana ubatnya tidak sama di negeri kita dengan di Turki. Saya seminggu saja di sana, maka  tidak banyak saya berjalan di bandar itu.
   
Apapun sistem yang terpakai di Malaysia sehingga ini adalah terbaik untuk kita. Tidak perlu pesakit yang mendapat rawatan di klinik terpaksa ke tempat lain untuk mendapatkan ubat dan rawatan. Orang demam, orang sakit kepala, gout dan lelah dapat rawatan dan ubat daripada doktor di klinik itu saja.
  
Lainlah kalau ubat yang jarang digunakan di klinik, baru doktor nasihatkan kita dapatkan ubat yang kadang-kadang harga tinggi juga di farmasi. Biasanya semua kita dapat di klinik itu saja.
  
Adalah benar farmasi pun nak makan juga. Kalau orang dapatkan ubat di klinik, nanti tutuplah farmasi. Biasanya manusia ini tidak ada yang tidak sakit. Kedai singse – kedai ubat Cina. Tiada doktor menasihatkan pesakit pergi ke kedai ubat Cina, tetap kedai ubat Cina ada di banyak lorong. Semua boleh berniaga dan cari makan.
   
Maka teruskanlah cara yang ada sekarang. Kerajaan dan kementerian kesihatan jangan gatal hendak mengadakan rawatan di klinik, ubat beli farmasi. Transformasikan apa yang tidak licin. Yang sudah elok usah disusahkan.

Tiada ulasan: