Khamis, 5 Mac 2015

Hanya Empat Muka Surat Akhbar "The Straits Times"







Oleh Abu Hassan Adam 
 
 
Kini rakyat di Malaysia ‘heboh’ bercerita tentang keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi yang berjaya mendapat keputusan cemerlang tentulah ‘mengelekek’ (loghat Perak membayangkan keadaan yang amat mengembirakan). Namun bagi yang tidak begitu bernasib baik tentulah merasa dukacita menerima keputusan yang sedemikian. Walau bagaimana pun bagi yang gagal tidak bermakna sudah tertutup semua jalan untuk berjaya dalam hidup ini.

Banyak lagi ruang-ruang yang boleh diterokai. Dan yang penting untuk difikirkan ialah tentang hikmah yang terselindung. Mungkin ada hikmahnya disebalik sesuatu keadaan yang berlaku itu. Cerita mengenai Peperiksaan SPM kini mungkin sudah ‘basi’ berbanding dengan kisah ‘Peperiksaan SPM” zaman dulu. Zaman aku dulu-dulu. Bukan Sijil Pelajaran Malaysia namanya.

Senior Cambridge pun dia. School Certificate pun dia. Malaysia Certificate of Education (MCE) pun dia. Semuanya cakap orang putih. Sekali masuk peperiksaan, dua sijil diperolehi. Cambridge School Certificate dan Malaysian Certificate of Education (MCE).

Pada ketika itu ( tahun-tahun 1950an) tak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah orang putih. Kebanyakan orang Melayu tinggal di kampung-kampung terpencil yang tidak dihubungi dengan jalan raya. Aku dikira bernasib baik disebabkan kampung aku terletak tidak jauh dari Kuala Kangsar. Dihubungkan dengan jalan raya, walaupun tidak bertar. Dan Kuala Kangsar pada ketika itu boleh dikatakan sebagai salah satu pusat perkembangan pendidikan di Tanah Melayu.

Apa tidaknya. Pada ketika itu di Kuala Kangsar sudah pun ada tiga sekolah orang putih. Premier school. Malay College Kuala Kangsar, Clifford School dan untuk pelajar perempuan pula ada Government English Girls School ( kini Sekolah Yang Kalsom). Sekolah persendirian pun ada.

Public School Kuala Kangsar. Jadi tidak timbul masalah bagi anak-anak di kawasan ini untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah orang putih berbanding dengan tempat-tempat lain di Tanah Melayu. Walaupun terdapat banyak sekolah orang putih di Kuala Kangsar, berapa ‘kerat’ saja anak Melayu yang berpeluang belajar sekolah orang putih.

Banyak kekangan yang dihadapi oleh orang Melayu untuk meneruskan persekolahan anak mereka. Yang akan aku ceritakan ialah pengalaman peribadi aku sendiri. Dan aku merasakan bahawa apa yang aku ceritakan nanti adalah juga merupakan pengalaman orang lain yang seangkatan dengan aku. Dan yang ingin aku tegaskan di sini ialah sekiranya ibu bapa kami tidak gigih dan betul-betul bersemangat untuk memberi pelajaran kepada anak-anak seperti kami, maka pastinya aku dan rakan-rakan yang ‘sewaktu’ dengan aku akan terus senasib dengan rakan-rakan lain yang ada di kampung kini.
Untuk pengetahuan anak-anak,

Untuk ke sekolah, aku terpaksa bangun pagi pada pukul 4.30 pagi. Mandi di telaga ( bukannya di bilik mandi yang pakai shower) yang agak jauh dari rumah, bersarapan pagi ( rebus pisang atau rebus ubi atau bikut kering atau nasi sejuk berlaukkan ikan kering) dan selepas itu bersiap untuk ke sekolah.

Pukul 5.15 pagi keluar dari rumah ke pekan Padang Rengas melalui batas sawah padi, melalui kampung Lalang, melalui Kampung Pondok dan akhirnya sampai ke sebatang sungai berdekatan dengan stesen keretapi (lama) Padang Rengas. Di sungai berkenaanlah aku membasuh kaki ( yang berselut lumpur ) dan memakai kasut ( yang dipikul dalam perjalanan). Kemudian meneruskan perjalanan ke pekan Padang Rengas untuk menunggu bas ke Kuala Kangsar.

Sampai tempat menunggu bas ( kedai Cina Moh Khaw) pukul 6.15 pagi. Bas pertama ( Red &Yellow dari Taiping ) akan sampai ke Padang Rengas pada pukul 6.30. Dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar mengambil masa 30 minit. Sampai setesen bas Kuala Kangsar pukul 7.00 pagi. Berjalan kaki pula ke sekolah (Clifford School) selama 15 minit.

Itu baru cerita kesusahan yang dialami untuk ke sekolah. Belum lagi kesengsaraan dan keazaban lain yang dideritai yang mesti ditempuhi untuk mencapai kejayaan. Keadaan kemiskinan yang menyelubungi kebanyakan keluarga Melayu pada ketika itu telah menyebabkan orang Melayu kurang mendapat kejayaan berbanding dengan pelajar-pelajar bukan Melayu yang lain. Istilah ‘buku rujukan’ adalah amat asing bagi aku dan kawan-kawan yang lain. Sekiranya dapat kami meiliki buku teks pun sudah cukup bertuah. Ramai kawan-kawan aku yang hanya menggunakan buku teks yang telah terpakai (mungkin sudah berusia beberapa tahun) dibeli dengan separuh harga dari pelajar yang terdahulu.

Kami hanya mengharapkan nota yang diberikan oleh guru dan buku teks semata-mata sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan. Jika dibandingkan dengan persediaan anak-anak kini (apatah lagi persediaan yang disediakan untuk cucu-cucu) adalah ibarat langit dengan bumi, ibarat siang dengan malam. Namun begitu dengan berkat ketabahan dan kegigihan kami berjaya juga sampai ke peringakt sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa kami. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Alfatihah…….

Apbaila sampai hari pengumuman keputusan peperiksaan OSC/ MCE atau HSC seperti yang berlaku kini, agak berbeza sedikit dengan keadaan masa kini. Pada hari berkenaan, sekolah berkaitan meletakkan juga nama-nama pelajar yang berjaya dengan kelulusan setiap mata pelajaran, namun sekiranya ada pelajar yang agak ‘malas’ untuk melihat keputusan peperiksaannya di sekolah, maka bolehlah melihat keputusan peperiksaannya melalui akhbar ‘The Straits Times’.

Melalui akhbar berkenaan akan tercatat nama calon-calon yang lulus samada Gred 1 atau 2 atau 3. Kebiasaannya tidak ramai yang lulus apatah lagi untuk mendapat Gred Pertama. ‘Memang berdarah biji mata’ (ungkapan orang Perak) untuk mendapat gred berkenaan. Untuk mendapat Gred A matapelajaran pun terlalu sukar. Mungkin seorang sahaja dari sesebuah sekolah yang boleh mendapat enam atau tujuh A. Amat berbeza dengan keadaan sekarang. ‘ Macam tembikai jualan di tepi jalan’ kata kawan aku.

Untuk seluruh Tanah Melayu hanya empat atau lima muka surat akhbar ‘The Straits Times’ diperlukan untuk memuatkan senarai pelajar-pelajar yang lulus OSC/MCE. Mungkin hanya beberapa ribu sahaja calon yang berjaya dalam peperiksaan pada ketika itu berbanding dengan keadaan kini yang meningkat kepada ratusan ribu.

Dari segi ramainya pelajar yang mengambil peperiksaan, bolehlah dikatakan sebagai satu kejayaan orang Melayu…..

abuhassanadam  http://abuhassanadam.blogspot.com/

Tiada ulasan: