Tidak bersetuju dengan pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah disebarkan.
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan pandangannya untuk tidak setuju dengan keputusan membenarkan penceramah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias menjadi panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam sempena hari keputeraan Raja Perlis yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Dr Asri juga mengesahkan surat rasmi yang semakin tersebar di laman sosial media itu sebagai benar.
Bagaimanapun Dr Asri menjelaskan surat tersebut tidak menyebut untuk menghalang Kazim untuk berceramah di Perlis.
“Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang bersempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis,” kata beliau melalui status Facebooknya.
Surat rasmi Jabatan Mufti Perlis kepada Pejabat Menteri Besar mengatakan tidak bersetuju dengan pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah disebarkan, dan menambah, “Ini selaras dengan kehendak keilmuan dan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan riwayat.”
Dr Asri juga telah memuat naik dalam Facebooknya mengenai teks ceramah Kazim Elias yang didakwa menggunakan riwayat palsu.
“Manakala kenduri Rasulullah s.a.w yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari,” katanya, memetik ucapan Kazim Elias yang didakwa sebagai palsu.
Bagaimanapun kata Dr Asri, sepatutnya surat dalam pentadbiran itu tidak perlu disebarkan dan disebabkan ramai yang ingin bukti, beliau menyertakan satu salinan muka surat berkenaan ucapan Kazim.
“Ia adalah surat dalaman pentadbiran Jabatan Mufti yang merupakan Jawatankuasa Penganjur. Maka, penyebarannya tidak sepatutnya berlaku. Oleh kerana surat itu telah tersebar dan ramai bertanya bukti, maka di sini disertakan satu salinan muka surat buku pihak berkenaan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan