Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Selepas dua siri pendedahan mStar Online
mengenai perkembangan terbaharu genius matematik, Adi Putra Abdul
Ghani, banyak pihak mula tertanya-tanya mengapa remaja dengan kebolehan
luar biasa itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Malah timbul pelbagai pandangan yang
turut mempersoalkan sistem pendidikan negara kerana dilihat tidak
mempunyai modul pembelajaran khas bagi golongan genius sepertinya.
Rata-rata melahirkan kebimbangan
kerana tidak mahu kisah beberapa kanak-kanak dan remaja pintar yang
dilahirkan di negara ini hanyut dan gagal dalam kehidupan mereka kerana
kurangnya bimbingan.
Kepada mStar Online, Adi
Putra yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-16 pada
Januari lalu meluahkan kekecewaannya kerana tidak diiktiraf di negara
sendiri sedangkan banyak pihak dari luar negara begitu menghargai bakat
dan kebolehan luar biasanya.
Menurut Adi Putra, sepanjang tempoh
sedekad selepas kisah mengenainya didedahkan media, tiada pihak yang
tampil membantu beliau dan keluarga khususnya mengenai masa depan
akademiknya.
Jauh di sudut hati, Adi Putra
tertanya-tanya mengenai punca disebalik ‘sekatan’ yang mungkin wujud
terhadapnya daripada terus menerima bantuan daripada pelbagai pihak.
“Kecewa juga sebenarnya, sebab Adi tak
(dapat bantuan). Memang niat Adi nak sambung belajar. Rasa kecewa sebab
ada yang dapat ke luar negara, dapat melanjutkan pelajaran, tapi kenapa
Adi tak dapat? kecewa sebab itulah.
“Adi kecewa sebab tahu ramai lagi yang macam Adi. Ramai lagi kanak-kanak yang extra ordinary kat Malaysia ni dalam bidang masing-masing.
“Tapi bila Adi tengok ramai yang ke
luar negara, dapat tawaran daripada kerajaan, NGO untuk bawa mereka ini
ke luar negara, Adi jadi kecewa…pernah terfikir kenapa Adi tak dapat
semua itu,” katanya.
Cerita Adi Putra lagi, mungkin
‘kesilapan’ yang dilakukannya kira-kira sepuluh tahun lalu menjadi
penyebab mengapa nasibnya tidak terbela.
Jelas Adi Putra, beliau pernah menolak untuk dilantik menjadi ikon sebuah program kecemerlangan akademik.
“Masa itu Adi tanya mana modul? Sebab Adi fikir cuma nak sambung belajar...jadi Adi tanya modul. Tapi mereka suruh sign (tandatangan) dulu dan nanti baru cipta modul.
“Adi terfikir mana ada undang-undang yang mengatakan sign
dulu baru dapat tengok benda kan (modul). Jadi Adi tolak tawaran tu.
Sejak daripada itu Adi sudah tak dapat perhatian,” katanya.
Untuk rekod, Adi Putra pernah menerima
tajaan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Tenaga Nasional
Berhad (TNB) bagi menampung pembelajarannya di peringkat A-level di
Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Bagaimanapun katanya, beliau tidak
menerima sebarang pengiktiran atau sijil kelayakan sungguhpun berjaya
menamatkan pengajiannya pada ketika itu.
Tambah Adi Putra lagi, pelbagai pihak pernah menabur janji untuk membantunya melanjutkan pelajaran.
“Terlalu banyak pihak yang janji nak bawa Adi pergi sana sini, nak bagi dana untuk sambung belajar…tapi akhirnya (tak ada).
“Tapi kalau ada tawaran pun, buat masa sekarang ini Adi perlu katakan tidak juga. Adi perlu tanggung keluarga dahulu,” katanya.
Mengimbau kembali ketika zaman namanya
masih dijulang, Adi Putra mengakui pernah menerima tawaran untuk
melanjutkan pelajaran di dua buah universiti terkemuka dunia ketika
berusia enam tahun.
“Masih ingat lagi masa berumur enam tahun, Adi ada dapat tawaran daripada University of Oxford dan Harvard University.
“Adi kecil sangat, tambahan pula tawaran itu hanya untuk Adi dan keluarga tak boleh ikut ke sana.
“Jadi Adi fikir i can’t do this. Memang tak boleh nak hidup seorang diri kat sana. Adi baru berumur enam tahun... jadi masa itu Adi tolak,” katanya.
Ditanya mengenai harapannya terhadap
masa depan perkembangan akademik khususnya bidang matematik di Malaysia,
Adi Putra yang pernah melancarkan buku matematik pertamanya pada 2011
mahu formula-formulanya digunakan dalam sistem pendidikan negara.
Menurut Adi Putra, beliau masih
tertanya-tertanya mengapa pihak berwajib tidak pernah berminat untuk
mengkaji formula matematik ciptaanya sedangkan ia diiktiraf sebagai
rujukan di negara luar.
“Harapan Adi mungkin mereka boleh ambil formula-formula ini. I’m not saying it’s (modul matematik sedia ada) bad. Banyak perkara bagus, sistem kita memang bagus sebenarnya, memang dah diiktiraf pun.
“Tapi mungkin ada benda lagi yang boleh diperbaiki. Sebagai contoh buku Seni Matematik Islam
tulisan Adi, kerajaan Malaysia tak gunakan buku itu tapi ia digunakan
oleh kerajaan Brunei. Mereka gunakan sebagai buku rujukan di sekolah
rendah dan menengah,” katanya.
Selain itu tambah remaja tinggi lampai
berkenaan, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu
bapanya, Abdul Ghanid Abdul Wahid dan Serihana Elias serta ahli
keluarganya yang sering memberi sokongan dan galakan.
Jelas Adi Putra lagi tanpa sokongan
orang sekelilingnya, ilmu matematik yang dianugerahkan kepadanya mungkin
tidak dapat dikongsi dengan orang luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan