Ahad, 25 Januari 2015

4 Anggota Polis Rakam Video Zamani Ditukar Tugas

RAKYATNEWS


 



SHAH ALAM  - Empat anggota polis dikaitkan dengan rakaman dan penyebaran klip video seorang penyanyi lelaki era 1990-an yang ditahan beberapa hari lalu berhubung kes dadah, telah ditukarkan ke bahagian operasi pejabat.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kesemua mereka masih bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tetapi tidak lagi terlibat dengan kerja berkaitan penyiasatan dan operasi.

"Mereka ditugaskan untuk kerja pejabat atau non-active task. Keputusan muktamad mengenai kedudukan mereka hanya akan dibuat selepas selesai siasatan," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Abdul Samah berkata pihaknya masih menyiasat sekiranya ada lagi anggota yang terlibat dalam insiden yang mencuri perhatian ramai itu.

Video berdurasi 1 minit 21 saat yang menjadi viral itu memaparkan penyanyi utama kumpulan Slam, Zamani, diminta menyanyikan lagu hitnya ‘Gerimis Mengundang’ dalam keadaan duduk dan tangan bergari.

Ia mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi itu.

Abdul Samah berkata siasatan mengenai insiden itu tetap dijalankan walaupun Zamani dilapor telah mengeluarkan kenyataan memaafkan anggota yang melakukan kesalahan itu.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota kerana ini kesalahan serius yang bukan hanya memalukan individu berkenaan malah ia turut mencemarkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia," tegasnya.

Zamani dan seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat pada Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan tempoh reman empat hari terhadap mereka tidak disambung.

Tiada ulasan: