Rabu, 28 Januari 2015

1MDB minta tangguh bayar hutang lagi, DAP desak Najib arahkan audit khas

tony pua

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengarahkan audit khas dijalankan terhadap 1MDB bagi membongkar penipuan kewangan mereka, tegas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Najib tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik retorik bahawa syarikat itu kukuh dari segi kewangan apabila ia buat kali ketiga terpaksa meminta pembayaran balik hutang lebih RM2 bilion dijadualkan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bloomberg semalam yang melaporkan bahawa ’1MDB merancang mendapatkan lanjutan sebulan lagi’ ke atas pinjaman RM2 bilion untuk memberikan lebih banyak masa menjual pegangan dalam unit tenaga.

“Laporan tersebut amat mengejutkan kerana 1MDB sebelum ini telah terlepas dua tarikh akhir pembayaran balik RM2 bilion pada November dan Disember tahun lalu.

“RM2 bilion ini sendiri sebenarnya adalah sebahagian daripada hutang yang dijadual dan disusun semula yang tidak mampu mereka bayar pada November 2013,” ujarnya.

Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, permohonan lanjutan terbabit kini menimbulkan persoalan lebih besar terhadap dana berjumlah RM3.9 bilion di Kepulauan Cayman yang didakwa telah ‘ditebus’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy.

“Kenapa 1MDB tidak boleh membayar balik pinjaman RM2 bilion dengan hasil penebusan untuk meringankan tekanan ke atas mereka?

“Krisis hutang dan ketidakupayaan 1MDB untuk menyelesaikan jumlah yang tidak seberapa berbanding hutang RM42 bilion memperlihatkan bahawa syarikat itu mempunyai masalah kewangan serius.

“Aset mereka kini terlebih leveraj (over-leveraged) dan tidak mudah ditukar kepada tunai (illiquid) dalam semua kebarangkalian, 1MDB juga tidak dapat keluar dari pelaburannya tanpa menghadapi sebarang kerugian besar,” ujar Tony.

Menurut Tony, Edge Financial Daily sebelum ini melaporkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah memanggil eksekutif 1MDB berhubung pembayaran balik pinjaman dan memberi amaran tentang risiko bakal dihadapi jika gagal memenuhi tarikh akhir pembayaran bulan ini.

“Permohonan lanjutan pembayaran yang hanya sebahagian kecil dari hutang RM42 bilion ini jelas adalah satu penghinaan kepada BNM.

“1MDB juga memegang bank (pembiaya) iaitu Maybank Bhd dan RHB Bank, jadi sudah tentu bank-bank ini tidak mempunyai pilihan tetapi membenarkan lanjutan dibuat.

“Perbuatan membuli pembiaya ini sama sekali tidak wajar dan tidak bertanggunjawab. Kelakuan jahat 1MDB turut mengancam kepercayaan kredit (credit-worthiness) kerajaan dan kestabilan sistem perbankan negara,” tegas beliau. -Roketkini.com

Tiada ulasan: