Raja Shamri ketika ditemubual wartawan Sinar Harian, Murni Abdul Rashid.
NIAT menulis di Facebook oleh Raja Shamri Raja Husin,39, anak jati Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh bagi mengajak orang ramai membantu mangsa banjir menjadi satu fenomena apabila mendapat sambutan luar biasa.
Namun bagi insan istimewa itu, apa yang berlaku adalah berpunca dari kesedaran orang ramai yang ikhlas mahu turun padang sebagai sukarelawan.
Menerusi nukilan dan cerita ketika misi bantuan banjir menerusi laman sosial, facebooknya dikatakan berada di tangga ketiga Asia dengan lebih 400,000 pengikut tidak sampai sebulan.
Untuk ulasan lebih lanjut berkenaan semangat sukarelawan yang dicetuskan hingga jadi fenomena, ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, MURNI ABDUL RASHID bersama Raja Shamri.
Sejauh mana semangat sukarelawan dapat dilihat ketika bencana banjir melanda baru-baru ini?
Memang luar biasa, kita tidak merancang untuk menjadi sebegini besar hingga mengumpul lebih ribuan sukarelawan dalam misi bantuan ini. Gerakan bantuan yang kita wujudkan juga antara yang paling awal sampai ke kawasan bencana seperti Kampung Laut, Tumpat bagi menghantar bekalan makanan.
Kita benar-benar mahu bantu dan pastikan setiap bantuan sampai ke sasaran. Komitmen sukarelawan amat tinggi dan sangat berani. Saya ketika itu berada di Pasir Puteh antara daerah yang tidak terjejas banjir, ini jadi kelebihan apabila tempat saya menjadi pusat pengagihan banjir.
Ia direncanakan oleh ALLAH SWT dan kebetulan saya turut dikenali sebagai pakar motivasi yang mempunyai ratusan ribu pengikut sebelum ini memudahkan lagi urusan untuk menggamit lebih ramai sukarelawan.
Apabila saya muat naik status dengan bercerita tentang keadaan banjir di tempat yang kita pergi ia mudah untuk menarik pengikut secara tidak langsung.
Adakah sukarelawan yang anda gerakan ini merupakan organisasi atau badan bukan kerajaan (NGO)?
Sukarelawan yang digerakkan saya bukan sebuah organisasi atau parti politik tetapi hanya sukarelawan kecil sekitar Pasir Puteh, apabila saya umum di Facebook mengenai misi bantuan banjir ini ramai yang bergabung.
Saya fikir ini adalah kebangkitan rakyat ketika ada yang memerlukan pertolongan, seluruh negara salurkan bantuan matlamat mereka adalah untuk selamatkan mangsa banjir tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
Saya hanya jadi perantara di Facebook, cuba damaikan pihak-pihak yang bertelagah. Jika ada isu kita akan tegur tidak kira siapa dan parti politik mana ia supaya bantuan dapat cepat sampai ke matlamat.
Fenomena rakyat Malaysia untuk menderma agak luar biasa, tetapi mereka tidak mahu melalui parti politik atau NGO. Mungkin selepas ini gerakan ini akan reda membawa haluan masing-masing dan akan bersatu semula jika ada bencana berlaku.
Kita adalah sukarelawan yang bergerak sendiri namun setiap cerita yang dikongsi mendapat reaksi positif orang ramai di seluruh dunia hingga mereka datang dari Singapura, Brunei, Doha, Filipina datang ke Kelantan semata-mata untuk membantu.
Malah, saya sendiri adalah sukarelawan bukan pengurus, ini membuatkan kami semua bekerja dalam keadaan seronok tidak terlalu formal cuma sebelum sukarelawan bergerak ke lokasi banjir saya hanya memberikan kefahaman, inspirasi serta motivasi agar dapat cetuskan keinsafan dalam diri masing-masing.
Apakah konsep yang digunakan untuk cetuskan semangat sukarelawan?
Kita hanya ikhlas membantu, ikhlas bercerita di Facebook dengan automatik orang ramai akan datang kepada kita. Cuma saya seru Syarikat Berkaitan/Milik Kerajaan (GLC) turun padang melihat kawasan terjejas banjir kemudian menjadikannya sebagai kampung angkat seperti yang berlaku di Acheh, Indonesia, bangunkan sekolah dan masjid.
Sifat sukarelawan yang dicetuskan oleh anda di Facebook menjadi fenomena. Apa yang mendorong ia mendapat sambutan?
Mungkin kerana saya sebagai pencetus semangat ini tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti politik, ini menunjukkan negara memerlukan ikon baru untuk mengetuai aktiviti kemanusiaan atau berbentuk kebajikan.
Ikon baru itu juga kena bebas dari fahaman politik, untuk mengajak orang ramai ikut dalam kerja sukarelawan tidak susah kerana saya sudah berada dalam lapangan motivasi selama 15 tahun dan mempunyai pengikut di laman sosial lebih setengah juta di seluruh negara. Saya juga bila turun padang buat liputan cerita benda yang sebenar, jika ada pihak buat tidak betul saya akan tegur agar diperbaiki.
Bagaimana mahu menjadi sukarelawan yang bagus?
Letak tepi fahaman politik, saya mengharapkan parti politik, NGO bila ada keperluan turun beramai-ramai bantu pada skala masing-masing. Kita tinggal di negara maju, permudahkanlah sistem atau prosedur di peringkat daerah jika keadaan kritikal.
Tidak perlu terlalu lama untuk mengeluarkan arahan dan bertindak sedangkan mangsa banjir sudah seminggu menyelamatkan diri di atas bukit. Ini yang perlu kita ubah dan perbaiki.
NGO yang berfungsi ketika bencana berlaku amat perlu di mana mereka perlu diberikan latihan secukupnya selain wujudkan budaya sukarelawan di peringkat sekolah lagi khususnya wujudkan Kelab Sukarelawan untuk badan beruniform.
Apa perasaan bila anda dikatakan gila kuasa dan berlagak hero dalam hal ini?
Jika saya gila kuasa mungkin saya tidak akan guna Facebook sebaliknya pergi ke media massa agar mendapat perhatian secukupnya. Isu ini tidak sepatutnya timbul, kerana saya sudah dikenali kalau mahu popular mungkin saya buat ceramah di televisyen sahaja. Apa yang berlaku di Kelantan ada banyak falsafah di sebaliknya.
Selepas banjir ini kita ada tempat tertentu untuk fokus seperti bina dan bersihkan surau terjejas banjir, apabila sempurna kita imarahkan pula dengan tazkirah bagi mereka (mangsa-mangsa banjir) muhasabah diri.
Perlu muhasabah diri? Adakah apa yang berlaku dalam akar masyarakat sangat teruk sehingga mereka menerima ujian ini?
Ada segelintirnya agak teruk, apa yang berlaku perlu jadikan pengajaran. Cuma apabila ada sukarelawan yang datang kita ajar mereka bukan hanya bagi barang tapi juga memberikan nasihat kepada mangsa banjir. Sebab itu kami gelarkan sukarelawan adalah The Third Force pihak ketiga selepas kerajaan negeri dan pusat.
Kenapa anda melibatkan diri sebagai sukarelawan?
Saya tidak terlibat dalam sukarelawan cuma secara peribadi sahaja berjumpa dengan mangsa-mangsa yang berdepan musibah, merantau ke Acheh, Indonesia bagi mendengar pengalaman mereka.
Untuk misi banjir ini, pada Disember tahun lalu saya banyak masa terluang jadual tidak padat dengan program motivasi hanya jalankan perniagaan sahaja. Memang kali ini saya kerja keras dalam misi bantuan mangsa banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan