Sabtu, 31 Januari 2015

Kritikan Tun M terhadap Najib bukan perpecahan

 
Semua boleh memberi pandangan ataupun buah fikiran terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran negara untuk memberi pertimbangan.


Datuk Seri Dr Siti Zaharah SulaimanSHAH ALAM: Bekas Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman berkata, kritikan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan hanya sekadar memberi pandangan sahaja bukannya menunjukkan perpecahan dalam Umno.

Ketua Wanita Umno Bahagian Paya Besar itu memberitahu, pihak luar dari parti boleh mengemukakan pandangan kepada pihak yang memerintah.

“Saya tidak fikir ada dua kem (puak). Saya ingat itu adalah satu pandangan yang diberi oleh bekas Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran parti dan kerajaan, meneruskan agenda pembangunan seperti yang telah dirangka.

“Jadi, kita sebagai pucuk pimpinan di peringkat yang mendukung pimpinan tertinggi kenalah menyokong kerana itu merupakan asas kepada kestabilan kerajaan dan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Dr Siti Zaharah, segala pandangan yang dikemukakan itu terserah kepada pemerintah untuk mempertimbangkannya.

“Kalau di luar daripada parti dan kerajaan, semua boleh memberi pandangan ataupun buah fikiran terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran negara untuk memberi pertimbangan.

“Kita percaya dan yakin kepada pucuk pimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. Beliau akan terus membawa kita ke mercu yang maju dan lebih progresif pembangunannya,” katanya.
Krisis terbaharu itu timbul selepas Tun Mahathir dan beberapa veteran UMNO dilihat berterusan mengkritik pentadbiran Najib.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Disember lalu, Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun (1981-2013) berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah Najib menukar banyak dasar ekonomi yang dilihat tidak memberi manfaat kepada negara serta mempersoalkan keputusan Najib berhubung pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tiada ulasan: