Syed Ali Alhabshee Syed Ali Alhabshee
 
 
SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat tiada keperluan untuk mana-mana pihak menjadi 'orang tengah' dalam menyelesaikan krisis antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ini jelasnya, tiada konflik dan krisis antara kedua-dua pemimpin tersebut, justeru tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Pada hemat saya, kalau tidak ada sebarang krisis, mengapa perlu ada orang tengah,” katanya dalam entri terbaru dalam blognya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesedian Menteri di Jabatan Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim baru-baru ini,  menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan krisis antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Mengulas lanjut, Syed Ali mendakwa, apa yang berlaku antara Mahathir dan Najib hanyalah komplot pihak tertentu bagi menjatuhkan pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

“Kadangkala teguran Mahathir agak keras sengaja diperbesarkan menerusi media atau laman-laman sosial kononnya Mahathir berbalah dengan Najib.

“Saya tidak nampak berlaku sebarang krisis sepertimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak termasuk pihak media, malah ia sengaja digembar-gemburkan oleh pembangkang,” katanya.

Menurut beliau, percanggahan pendirian Mahathir dengan Najib juga tidak sepatutnya menjadi perbahasan di kalangan pemimpin Umno, sebaliknya melihat secara positif dan tidak menjadikan laporan media sebagai sumber perbahasan.