Khamis, 29 Januari 2015

PAS gesa Majlis Fatwa labelkan Perkasa ‘pelampau dan sesat

 OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Salah seorang penunjuk perasaan di tapak pembinaan Datum Jelatek, Kuala Lumpur menendang pagar dan papan tanda, Ahad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Januari, 2015. 
Salah seorang penunjuk perasaan di tapak pembinaan Datum Jelatek, Kuala Lumpur menendang pagar dan papan tanda, Ahad lalu. – Gambar fail The Malaysian Insider,



Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini digesa mengeluarkan hukum melabelkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai "golongan pelampau dan sesat" ekoran tindakan agresif mereka menceroboh tapak pembinaan kondominium mewah Datum Jelatek di Keramat, Ahad lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjatuhkan imej Melayu dan Islam, dan bertentangan dengan ajaran agama.

"Saya nak Majlis Fatwa keluarkan fatwa yang Perkasa ini NGO yang melampau dan sesat dan bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah supaya imej Islam dijaga, dan orang seperti ini tidak lagi dibenarkan merosakkan imej Islam," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam.


Khalid berkata, Majlis Fatwa termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) perlu menyatakan pendirian tegas menangani masalah perkauman yang ditimbulkan Perkasa berlandaskan hujah tindakan mereka ditolak oleh Islam. "Saya tahu Perkasa itu Islam. Kalau tindakan mereka betul, kita minta Majlis Fatwa kata betul. Kalau salah, kata salah," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu pada masa sama mempersoalkan tindakan berdiam diri Perkasa terhadap nasib tanah Melayu di negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) di Johor seperti projek Iskandar Malaysia.

"(Ia satu) sentimen perkauman yang sempit dan songsang, kerana agenda politik yang nak dibawa Perkasa dalam usaha membantu Umno-BN, (mengatakan) kononnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ini tak mesra Bumiputera.

"Dia ingat kerajaan PR macam BN, sedangkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dah ada garis panduan yang jelas," katanya merujuk projek itu yang dibangunkan Datumcorp International (DCI), anak syarikat milik penuh PKNS.

Ahad lepas, kira-kira 100 penduduk sekitar Taman Keramat berarak ke tapak projek itu dan bertindak memecahkan tembok zink, manakala sesetengah mereka meluru masuk ke dalam tapak projek. Pada mulanya, kumpulan tersebut berarak dengan aman tetapi kemudian bertukar menjadi agresif.

Projek Datum Jelatek dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ia bertujuan menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi "Chinese District" kerana projek kondominium itu didakwa hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.

PKNS kemudian mengesahkan semua 674 unit rumah Datum Jelatek yang disediakan didaftarkan kepada pembeli Bumiputera, sekaligus menafikan dakwaan golongan Melayu dipinggirkan.

Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata, seramai 1,097 Bumiputera sudah berdaftar sebagai pembeli, melebihi jumlah unit yang disediakan.

Sebelum ini, badan bukan kerajaan memperjuangkan hak wanita, Sisters In Islam (SIS) difatwakan Mais sebagai pertubuhan haram kerana didakwa menyebarkan fahaman agama liberal dan pluralisme.

SIS kemudiannya memfailkan semakan kehakiman terhadap Mais, Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang berkuasa merampas penerbitan SIS dan menyekat penyebarannya di laman sosial.

Tiada ulasan: