Rabu, 28 Januari 2015

Bekas Menteri dapat kontrak pengambilan pekerja asing, minta Zahid jawab

KEADILAN DAILY


KEADILAN ingin mengimbas kembali bahawa mulai 15 Januari 2015, semua pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing di negara sumber dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak boleh diuruskan di kaunter Jabatan Imigresen, sebaliknya perlu dilakukan sepenuhnya secara atas talian melalui sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS).

Sudah 4 hari kami menunggu maklum balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja enggan mengulas isu MyEG, tetapi juga membisu atas sistem FWCMS yang diusahakan oleh Bestinet Sdn Bhd (BESTINET).

IMG_0580Maka kami perlu mendedahkan identiti BESTINET dan siapakah yang di belakang semua proses penswastaan proses pengambilan/pembaharuan pekerja-pekerja asing untuk kepentingan orang awam dan tindakan pihak berkenaan.

Merujuk kepada maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), BESTINET merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan pada 17 November 2008. Ciri-ciri syarikat BESTINET adalah seperti berikut:

1. Merupakan sebuah Syarikat RM2 sehingga tahun 2013;

2. Tidak menghantar Laporan Akaun sejak tahun 2010 selama 4 tahun (yang pastinya telah melanggar Akta Syarikat 1965);

3. Diklasifikasikan sebagai syarikat ‘Dormant’

Antara pengarah penting Bestinet Sdn Bhd adalah Tan Sri Azmi Khalid. Beliau merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dan pernah menyandang jawatan berikut:

1. Timbalan Menteri Dalam Negeri (1999)
2. Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999-2004)
3. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (2004-2006)
4. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2006-2008).
5. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Malaysia sehingga tahun 2013.

Kami terkilan dengan penglibatan bekas Menteri KDN Umno/BN dalam syarikat BESTINET yang membangunkan sistem FWCMS untuk kementerian yang sama. Ini memberikan gambaran wujudnya percanggahan kepentingan (conflict of interest) dan seolah-olah projek ini dianugerahkan atas hubungan dan rundingan dalaman.

Kami juga berasa dukacita dengan siri penswastaan dan kontrak monopoli yang berlaku ke atas peranan dan fungsi Kementerian Dalam Negeri (KDN), bermula dengan MyEG, dan sekarang BESTINET.

Memang ada barangan dan perkhidmatan kerajaan yang boleh disumberluarkan kepada pihak swasta, tetapi pastinya bukan hal ehwal berkaitan dengan pengawalan sempadan (border control), imigresen dan keselamatan negara.

Kami menetapkan pendirian KEADILAN bahawa maklumat yang diuruskan oleh sistem tersebut melibatkan maklumat sensitif yang bakal membawa risiko kepada keselamatan dan kedaulatan negara dan TIDAK HARUS disumberluarkan kepada syarikat swasta.

Akhir kata, kami menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi:

1. Mengapakah menganugerahkan projek tersebut kepada BestiNet Sdn Bhd yang sebelum ini merupakan Syarikat RM2 dan tidak mempunyai apa-apa track record pembangunan sistem atas talian?

2. Adakah kontrak tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka, dan apakah peranan Tan Sri Azmi dalam urusniaga tersebut?

3. Apakah nilai kontrak tersebut serta apakah kaedah pembayaran dan siapa yang akan membayar kepada perkhidmatan BESTINET?

4. Mengapakah tugasan sepenting ini boleh disumberluarkan kepada sebuah syarikat swasta?

YB Sim Tze Tzin
Ahli Parlimen Bayan Baru
Pengarah Strategi KEADILAN
Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
Bendahari Agung KEADILAN

YB Lee Chean Chung
Adun Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat

Tiada ulasan: