Banjir
 
 
KUALA LUMPUR - Sejumlah 42,000 masyarakat Orang Asli dari 261 kampung di seluruh negara dilapor terjejas dalam bencana banjir yang melanda negara, baru-baru ini.
  
Senator Datuk Mohamad Olian Abdullah, wakil masyarakat Orang Asli di Dewan Negara berkata, daripada jumlah itu, penduduk Orang Asli Kelantan adalah yang paling ramai terjejas iaitu 7,995 orang dari 67 buah kampung, khususnya Gua Musang.
  
Sehingga kini Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk menyediakan keperluan makanan dan barangan keperluan asas untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas dalam banjir, katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadari majlis melepaskan konvoi program Misi Bantuan Banjir Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Kuala  Lumpur (HKL) dan Persatuan Orang Asli Prihatin Pahang (POAPP) di sini, hari ini.
  
Program dirasmikan Pengerusi YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan turut dihadiri Ketua Unit Jabatan Kecemasan HKL, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Rafek Reshidullah.
 
Konvoi itu disertai 44 sukarelawan, termasuk doktor pakar dan pegawai perubatan dengan menaiki 11 pacuan empat roda, bagi membawa bantuan ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
  
Antara barangan bernilai RM90,000 yang dibawa konvoi berkenaan ialah penapis air, tilam dan bantal serta kit kesihatan.
  
Sementara itu, Shahrizat berkata, YKN dalam usaha membantu mangsa banjir, memberi keutamaan terhadap aspek perubatan dan perawatan kepada mangsa.
  
"Sekarang ini kita turun lagi pada pasca banjir dan kita selain daripada memberi peralatan yang diperlukan seperti alat penulenan air yang amat mustahak, kita juga hantar beberapa sukarelawan dan doktor untuk membantu.
  
"Saya harap kita tidak akan menghentikan usaha-usaha membantu mereka (mangsa) walaupun banjir dah surut di banyak tempat," katanya. - Bernama