Khamis, 29 Januari 2015

Kementerian Pendidikan cadang kertas peperiksaan elektronik elak soalan bocor berulang

 OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata merangka kertas soalan peperiksaan sekolah secara elektronik mungkin dapat mengelak insiden kertas soalan bocor berulang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Januari, 2015.Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata merangka kertas soalan peperiksaan sekolah secara elektronik mungkin dapat mengelak insiden kertas soalan bocor berulang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal



Putrajaya bercadang merangka kertas soalan peperiksaan sekolah secara elektronik bagi mengelak insiden kertas soalan bocor berulang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara itu merupakan salah satu cadangan dalam laporan penambahbaikan dan pihaknya akan mengkaji sama ada ia boleh dilaksanakan di peringkat sekolah.

"Ada sebahagian yang mencadangkan kertas soalan dibuat secara elektronik, berpengkalan di sekolah.


"Kita nak lihat, bolehkah ia dilaksanakan? Dan kalau boleh, bagaimana untuk melakukannya?" katanya pada sidang media selepas merasmikan Menara Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai laporan hasil siasatan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhyiddin berkata pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya secepat mungkin berhubung saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Malaysia.

Katanya, ada saranan yang sudah mula dilaksanakan dan ada yang memerlukan kajian secara teliti.

"Sebahagian daripada yang dimasukkan dalam laporan sudah kita laksanakan seperti pemasangan CCTV (kamera litar tertutup), perkuatkan prosedur operasi standard (SOP) bilik kebal, cara soalan digubal, dipilih dan dicetak," katanya.

Muhyiddin pada 21 Januari lalu menerima laporan akhir hasil siasatan kebocoran kertas soalan UPSR 2014 daripada Pengerusi Jawatankuasa Bebas Tun Zaki Azmi.

Laporan itu memuatkan 15 syor penambahbaikan peperiksaan awam di negara ini yang melibatkan definisi serta proses kerja di peringkat pengeluaran, operasi dan pengurusan.

Ia turut mengandungi analisis dan penilaian terhadap proses kerja dan SOP pengurusan peperiksaan awam kendalian Lembaga Peperiksaan.

Jawatankuasa bebas itu ditubuhkan ekoran kes kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris UPSR tahun lalu sehingga menyebabkan calon terpaksa menduduki semula peperiksaan itu.

Laporan itu juga mendapati bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Na'imah Ishak dan bekas Timbalan Pengarah Operasinya, Dr Wan Ilias Wan Salleh didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan menyebabkan kertas soalan bocor.

Bagaimanapun Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mereka kini ditugaskan di tempat lain.

Tiada ulasan: