Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
 
SHAH ALAM – Hubungan PKR dengan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih baik dan berjalan seperti biasa.

Ketua Angkatan Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun Abdul Khalid bukan lagi ahli PKR, pihaknya masih menghormati Abdul Khalid sebagai bekas anggota parti.

“Hari itu saya ada jumpa dia di sebuah majlis perkahwinan. Kami bersalaman dan bertegur dengan baik seperti biasa..Dia pun bekas bos (ketua) saya..

“Hubungan kami dengan dia (Abdul Khalid) macam hubungan parti dengan seorang bekas anggota parti. Tidak lebih dan tidak kurang,” katanya ketika ditemui Sinar Online selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Mengulas pembabitan Abdul Khalid dalam Sidang Dun, kata Nik Nazmi, setakat ini Abdul Khalid dilihat masih tidak menunjukkan banyak campur tangan dalam persidangan lepas.

“Dalam Sidang Dewan  tempoh hari, dia datang (pada hari pertama) dan berjumpa dengan Menteri Besar baharu (Mohamed Azmin Ali), namun dia didapati tidak hadir sewaktu pembentangan di dalam Dewan tersebut.

“Buat masa ini tidak banyak pembabitan dia yang ditunjukkan di dalam Dewan,” katanya lagi.