Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: DAP tidak sepatutnya membangkitkan soal Pilihanraya Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) secara terang-terangan hanya kerana semata-mata
tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hudud di
Kelantan.
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
berkata, DAP sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih wajar dan
memikirkan hubungan kerjasama yang terjalin menerusi gabungan Pakatan
Rakyat.
Sama seperti PAS kata Mahfodz, parti itu walaupun tidak bersetuju
dengan pilihanraya PBT itu sebelum ini, namun masih mengambil pendekatan
berdiam diri kerana mahu menjaga hubungan sesama rakan dalam Pakatan.
"Maka sebab itulah dah sampai masanya Datuk Seri Presiden menyuarakan
pandangan yang sebenarnya. Yang PAS tak setuju itu ialah pilihanraya itu
macam di seluruh Malaysia ada komponen semua kaum.
"Tapi kalau di bandar, kaum Cina menguasai. Sebab itu PAS tak setuju,
ini akan timbulkan ketegangan kaum. Dan Melayulah yang akan tersepit
itu," katanya kepada Antarapos.
Ujar Mahfodz yang turut bersetuju dengan pandangan Hadi itu lagi, DAP
tidak wajar menggunakan isu hudud untuk menyerang PAS kononnya
membelakangkan Pakatan, kerana secara asasnya PAS sendiri menghormati
pandangan DAP yang tidak mahu hudud dilaksanakan.
"PAS hormati DAP tak mahu hudud tapi dia kena paham apa yang
dilaksanakan itu berkaitan dengan hukum hakam orang Islam. Macam kita
puasa, sembahyang dan haji..dia tak boleh tak setuju sebab ia berkaitan
dengan orang Islam. Hudud pun seperti itu juga, kita tak kenakan apa-apa
tindakan kepada orang bukan Islam," ujarnya lagi.
Bekas Pesuruhjaya PAS Johor itu juga tidak menolak kenyataan yang
dibuat Hadi itu adalah sebagai respon kepada tindakan DAP yang enggan
menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.
"Iyalah.. untuk berlaku adil, maknanya kalau dia nak laksanakan tanpa
persetujuan pun dia nak teruskan. Jadi kita pun begitu juga. Walaupun
DAP tak setuju dengan hudud, maka kita akan laksanakan juga kerana yang
terlibat dengan hudud di Kelantan ini orang Islam saja.
"Tak ada kena mengena (dengan orang bukan Islam). Lagi pun
undang-undang itu diluluskan sebelum adanya Pakatan," kata beliau lagi.
Tambah Mahfodz, DAP sepatutnya membincangkan isu pilihanraya PBT itu
dalam mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat sebelum membangkitkannya.
"Patutnya ia (pilihan raya PBT) ini perlu dibincangkan dan minta
persetujuan dalam Majlis Presiden. Kita diam itu dengan harapan supaya
hasrat PAS nak laksana hudud di Kelantan pun DAP tak perlu bising. Macam
kita (PAS) tak setuju tapi diam... menggambarkan ada perpaduan dalam
Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.
Justeru dengan keadaan sekrang ini yang menyaksikan pertikaman lidah
antara pemimpin kedua-dua parti, Mahfodz mencadangkan kedua-dua pihak
duduk semeja untuk membincangkan permasalahan yang berbangkit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan