Pemuda UMNO meminta peperangan siber di antara puak Dr Mahathir dan Daim yang berlawanan dengan puak Najib perlu diselesaikan dengan baik. Begitulah kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Beliau membuat kenyataan selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda itu di PWTC semalam. Apa pun kenyataan Ketua Pemuda itu hanya satu ‘poitical statement’ yang simplistik yang tidak boleh membawa apa-apa ‘consequence’ yang positif. Pemuda masih berpolitiking seperti biasa sahaja dan elok diabaikan sahaja.
Sekarang perang proxi yang sudah
sampai ketahap menelanjangkan lawan. Masing-masing mempunyai saham dalam melakukan keburukan yang
sedang dialami oleh negara sekarang. Semuanya itu tinggal dalam rumah kaca.
Apabila salah seorang membaling batu kepada rumah kaca rakan lamanya maka rakan
lamanya itu juga boleh membaling kaca kerumah mereka juga.
Yang ‘interesting’ nya mereka
yang menjadi pengikut atau ‘foot soldiers’ kepada masing-masing pemimpin itu. Mereka
ini pula yang lebih hebat menari dengan gendang paluan kedua-dua belah pihak.
Justeru seperti yang blog ini selalu sebutkan masalah yang dihadapi negara kita
sekarang bukannya masalah dari rakyat asalnya. Masalah dan belahnya parti itu
adalah oleh kerana pemimpin-pemimpin ini. Yang terasa miangnya ialah pengikut
dan rakyat serta politik negara itu sekali.
Bagaimana puak Najib hendak
mengkritik Mahathir atau Daim dengan betul kerana puak Najib itu sendiri
merupakan puak yang sedang leka dan lalai dan terus menerus melakukan apa yang
tidak disukai rakyat sekarang ini. Dia sebaliknya juga bagai mana puak Mahathir
dan Daim pula hendak mengkritik Najib secara ‘credible’ kerana puak ini
merupakan puak yang telah membina budaya ‘material’ yang sedang menguasai jiwa
dan pemikiran ahli-ahli politik dan pemimpin negara kita sekarang ini?
Tidak ada pemimpin yang tidak
berniaga dan berlumba-lumba dengan rakyat. Hasilnya berbagai-bagai cara
dilakukan untuk memudahkan pemimpin-pemimpin menjadi kaya raya dengan
menggunakan kuasa ditangan mereka. Jika sebelum menjadi pemimpin besar dan
berkuasa besar mereka masih sibuk menghadapi ‘litigations’ kerana kegagalan
perniagaan, mereka menjadi kaya raya setelah mendapat pangkat dalam kerajaan
negara kita.
Sekarang mereka menghadapi
tuduhan dan persepsi buruk dengan kekayaan dan perniagaan besar mereka dalam
sedang berkelahi dalam usia yang sudah begitu lanjut yang sepatutnya berada
dalam ketenangan dalam persaraan. Kita tidaklah kisah dengan pergaduhan mereka
tetapi dengan pergaduhan ini kita telah dapat meyakinkan diri kita yang salah
laku yang dituduh mereka lakukan semasa berkuasa dahulu semakin hari semakin
jelas kerana ada pihak yang berani tampil untuk memberikan keterangan jika
dipanggil bagi menyempurnakan penyiasatan.
Yang terlibat dalam pergaduhan
ini adalah mereka yang besar-besar bernama dan bergelar. Yang bergelar Tun pun
ada, Tan Sri pun ada dan ramai yang datuk-datuk dan nama panggilan yang lain
yang semuanya besar-besar belaka.
Dalam situasi ini kita melihat
yang berkawan semalam hari ini menjadi musuh dan yang telah bermusuh begitu
lama kini sudah menjadi kawan. Masing-masing mempunyai rahsia yang mereka tahu
tentang mereka yang berlawanan itu.
Mereka ini jugalah yang bercakap
tentang perjuangan untuk Melayu dan kumpulan ini jugalah yang bercakap tentang
keresahan terhadap keadaan negara pada hari ini. Mereka jugalah yang bercakap
tentang keunggulan kepimpinan tetapi mereka jugalah yang memulakan keadaan ini.
Yang lebih menarik lagi kumpulan ini jugalah yang bersuara mahu membetulkan
keadaan negara sedang mereka adalah penyumbang kepada keadaan buruk negara
sekarang ini.
Dalam keadaan sekarang, Ketua
Pemuda nampaknya serba salah dan tidak mahu mengambil ketegasan yang jelas
dalam isu ini. Elok Pemuda melihat dari sudut kenapa perkara ini boleh berlaku.
Baik dari pihak Daim mahupun Najib masing-masing mempunyai alasan untuk
mengkritik pihak yang lain kerana masing-masing mempunyai saham yang membuatkan
pertengkaran sekarang ini berlaku.
Pemuda sepatutnya setia kepada
UMNO dan bukannya kepada individu dan cuba bermain dengan membawa sentimen
perpaduan yang tidak mungkin akan wujud di antara kedua-dua belah pihak ini. Selain
tidak mempercayai di antara satu pihak dengan pihak yang lain tetap akan wujud
dan tidak mungkin kendur kerana kedua-dua belah pihak tahu dan maklum tentang
perkara yang dilakukan oleh pihak yang lain itu.
Keadaan sekarang sudah menjadi
seperti perkelahian budak-budak atau kanak-kanak sekolah. Ia seolah-olah
memberikan andaian yang ‘kau dulu apa kurangnya, pandai-pandai hendak
mengkritik aku’. Perkelahian ini tidak disebabkan oleh kepentingan negara dan
rakyat.
Tidak ada apa-apa keuntungan
untuk orang ramai dalam perkelahian ini. Hanya jika boleh dianggap yang baik
timbul, ialah ia telah mengiyakan yang pandangan banyak pihak yang mereka dari
kedua-dua belah pihak ini telah melakukan perkara yang setidak-tidaknya tidak
bermoral bagi keperluan negara dan rakyat telah mereka lakukan.
Jika ia tidak dilakukan tidak
mungkin keadaan seperti ini akan berlaku. Masing-masing hidup da;lam rumah kaca
dan mana-mana pihak pun tidak boleh membaling batu terhadap rumah kaca yang
lain. Itu sebabnya keadaan negara sekarang menjadi kalut bukannya oleh kerana
rakyat tetapi oleh kerana pemimpin dan cara pemulihannya ialah dengan melakukan
‘dismantling’ terhadap sistem yang ada dan lakukan pemulihan dengan memulakan
negara baru seperti yang selalu blog ini sarankan. Keadaan sekarang sudah
menjadi begitu kalut dan tidak boleh diperbaiki dengan memberikan pembetulan
satu masalah satu lepas satu.
Kita tidak boleh hanya bergantung
kepada ubat tahan sakit kerana kesemua anggota tubuh kita sedang sakit. Kita
mesti mencari jalan untuk menghilangkan penyakit, bukannya setakat
menghilangkan sakit yang terlalu banyak itu. Kalau kita merasa sakit kepala
selalu dan sakit tengkok setiap waktu, ia tidak boleh diselesaikan atau diubati
dengan memakan panadol sahaja. Ia hanya menghilangkan sakit buat seketika.
Mungkin penyakit yang dihidapi seseorang itu ialah penyakit darah tinggi. Darah
tinggi inilah yang perlu diubati dan bukannya menghilangkan sakit di kepala
atau pun di tengkok.
Negara perlukan ‘overhauling’. Orang
yang bergaduh tidak boleh mendamaikan keadaan. Ada orang lain yang mungkin boleh membentuk
kedamaian ini. Jika pihak yang bergaduh ini hendak di yakini untuk
menyelesaikan keadaan negara ia tidak mungkin boleh tercapai sampai bila-bila.
Baik dari puak ini mahupun dari puak itu, kedamaian tidak boleh diperolehi jika
tanggungjawab itu diberikan kepada mana-mana satu pihak.
Negara memerlukan banyak lagi
masalah yang hendak diselesaikan dan diberikan perhatian. Ia bukan setakat
masalah dua pihak yang berkelahi ini. Kita ada masalah yang lebih besar seperti
untuk menyelesaikan masalah asas penubuhah negara kita seperti isu Persekutaun Malaysia yang melibatkan negeri-negeri Sabah dan
Sarawak yang kian hari kian meruncing.
Sabah dan Sarawak
memerlukan perhatian sebagai negeri-negeri yang ‘equal partners’ dengan
Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung). Perjanjian Persekutuan Malaysia
ini ditandatangani oleh 4 pihak (termasuk Singapura) pada tahun 1963 dahulu. Perjanjian
itu bukannya ditandatangani oleh 14 negeri-negeri dalam Persekutuan ini. Jika
masing-masing pemimpin dari peringkat persekutuan ini menumpukan kepada
perkelahian untuk menegakkan benang basah masing-masing, bilakan masalah yang
lebih besar untuk masa depan Persekutuan kita ini akan dapat diselesaikan?
Jika pemimpin utama sentiasa
berada diluar negara bagaimana beliau hendak memberikan tumpuan kepada
keperluan rakyat dan negara. Bagaimana hendak mencari formula untuk menjadikan
Persekutuan ini lebih jitu kewujudannya dan mengurangkan rasa tidak puas hati
di antara wilayah-wilayah dan persekutuan ini? Najib bukan seorang sahaja
Perdana Menteri dalam dunia ini ramai, tetapi PM-PM negara lain tidak pula
terbang seantero dunia ini setiap minggu dan bulan.
Kita abaikan sahaja mereka yang
bergaduh ini terutamanya mereka yang menganggotai Dewan Legislatif negara.
Ahli-ahli Dewan Legislatif negara perlu melakukan perkara yang boleh menyelesaikan
isu-isu negara yang bertimbun-timbun dengan kadar yang segera. Mereka
(ahli-ahli Legislatif) sebenarnya adalah rakyat kerana mereka mewakili rakyat
dalam Dewan Tertinggi Legislatif itu. Mereka ini dipertanggungjawabkan untuk
melihat negara kita keluar dari kemelut yang tidak ada penghujungnya sekarang
ini. Masing-masing perlu menghentikan ‘politicking’ yang menjahanamkan negara.
Jangan dibiarkan sekumpulan kecil manusia yang tamak dan haloba ini menentukan
masa depan negara kita.
Perlu diingat kita tidak
mempunyai tempat atau negara lain untuk tinggal. Di mana bumi dipijak di situ
langit dijunjung. Mereka yang telah menjadikan keluarga mereka kaya raya boleh
mencari bumi lain untuk dipijak dan menjunjung langit ditempat dan wilayah yang
lain.
Apa pun Najib perlu bersara
dahulu, kalau boleh dalam kadar yang segera. Itu dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan