Sohaimi Sohaimi
 
 
SHAH ALAM – Pengerusi Pelaburan Mara Berhad, Datuk Sohaimi Shahadan menyambut baik keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan pencarum membuat pengeluaran simpanan dari akaun dua untuk memulihkan kediaman mereka yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata untuk tujuan itu semua pihak perlu memainkan peranan proaktif dan bekerjasama dengan KWSP bagi memastikan urusan pengeluaran wang oleh pencarum dapat dilakukan dengan lancar dan pantas.

Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno juga mencadangkan agar satu pusat sehenti atau kaunter khas dibuka segera di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan tempat yang terjejas banjir bagi memudahkan urusan pengeluaran.

“Kaunter khas atau pusat sehenti perlu dilengkapi dengan kaunter KWSP, Kaunter Majlis Perbandaran atau daerah yang dapat memberi pengesahan bagi mempercepatkan proses permohonan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu Sohaimi menyarankan KWSP memberi pertimbangan khas kepada para pencarum bagi membuat pengeluaran simpanan dari akaun dua untuk memulihkan kediaman mereka yang terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, Sohaimi juga menyarankan KWSP menggunakan pelbagai medium komunikasi untuk menguar-uarkan kemudahan itu bagi memastikan pencarum mendapat maklumat yang jelas dan tepat.

“Pusat Transformasi Bandar atau Urban Transformation Centre (UTC) merupakan lokasi strategik bagi tujuan pengeluaran akaun kedua KWSP memandangkan UTC adalah satu pusat sehenti yang serba lengkap,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak tidak mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kemudahan pengeluaran caruman itu.

“Gunakalah wang ini dengan tujuan membaik pulih rumah dengan sebaik-baiknya.

 “Saya harap lebih banyak pihak tampil turun padang bagi mengenal pasti keperluan atau bantuan yang diperlukan dalam usaha memulihkan kembali negeri-negeri yang terjejas banjir”, katanya lagi.