Sabtu, 31 Januari 2015

Kronologi Operasi SAR MH370

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR - Berikut ialah kronologi operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 selepas hampir 11 bulan terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 2.40 pagi, 8 Mac 2014.

Pesawat itu hilang di 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan tiada sebarang isyarat kecemasan diterima daripada pesawat B777-200 itu yang membawa 239 orang.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Penumpang terdiri daripada 38 warganegara Malaysia, China (153), Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), Perancis (tiga), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (seorang), Itali (seorang), Taiwan (seorang), Belanda (seorang), dan Austria (seorang).

Susulan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR antarabangsa dan sehingga hari ini, pencarian pesawat itu masih dijalankan.

Berikut ialah urutan peristiwa operasi SAR MH370 :-

* 8 Mac (Hari 1) - Operasi SAR bagi mencari pesawat MH370 dilancarkan pada 5.30 pagi, yang melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN235, empat EC725 dan dua helikopter Augusta, serta sembilan kapal terdiri daripada enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Laut China Selatan.

* 9 Mac (Hari 2) - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan carian diperluaskan dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.

- Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan anggota dan aset mereka untuk membantu carian itu.

- Radar TUDM merekodkan pesawat MH370 (dan disahkan kemudian) menuju ke arah pantai barat Semenanjung Malaysia melalui Selat Melaka sebelum ia hilang 200 batu nautika dari barat laut Pulau Pinang pada 2.15 pagi.

* 10 Mac (Hari 3) - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi SAR MH370. - APMM menerima keputusan ujian tumpahan minyak yang dikesan di luar pantai Vietnam. Ia menunjukkan keputusan negatif untuk bahan api pesawat. Minyak itu digunakan sebagai bahan api kapal kargo.

* 12 Mac (Hari 5) - Menteri Pengangkutan dan Pemangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan beberapa isu: kemungkinan MH370 terbang melepasi Selat Melaka, kerjasama pakar-pakar penerbangan antarabangsa dan manifes Penerbangan MH370.

* 14 Mac (Hari 7) - carian antarabangsa diperluaskan ke arah barat Lautan Hindi. - USS Kid milik Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tiba di seksyen barat laut Selat Melaka untuk membantu usaha carian.

* 15 Mac (Hari 8) - Perdana Menteri Malaysia berkata komunikasi terakhir pesawat MH370 dengan satelit kemungkinan berlaku di satu daripada dua koridor iaitu koridor utara meliputi kawasan utara Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan atau koridor selatan merangkumi Indonesia ke selatan Lautan Hindi

- Najib berkata pesawat itu diterbangkan selama berjam-jam secara 'perlahan yang konsisten' selepas ia hilang daripada radar utama.

- Najib berkata misi SAR memasuki fasa baharu di koridor utara dan koridor selatan. Australia dan Indonesia menegetuai carian di kawasan masing-masing. Sejumlah 26 negara terlibat dalam operasi carian itu.

- Najib berkata operasi SAR ditamatkan di Laut China Selatan.

* 16 Mac (Hari 9) - Hishammuddin berkata pegawai-pegawai Malaysia saling berhubung dengan 15 negara di sepanjang koridor utara dan koridor selatan untuk mendapatkan bantuan berhubung pesawat MH370.

* 17 Mac (Hari 10) - Hishammuddin berkata operasi multinasional SAR melibatkan 26 negara bermula di koridor utara dan koridor selatan.

* 18 Mac (Hari 11) - Hishammuddin berkata kawasan operasi SAR di koridor utara dan koridor selatan adalah sejumlah 2.24 juta batu nautika persegi.

- Beliau berkata operasi carian memberi tumpuan kepada empat tugasan; mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit; analisis data radar pengawasan; meningkatkan aset udara dan darat selain menambah pakar teknikal dan pakar bidang berkaitan.

- Tiga juta orang menyertai satu daripada usaha penyumberan terbesar yang diketuai oleh pengendali satelit, DigitalGlobe, untuk mencari di kawasan SAR MH370 seluas 24,000 kilometer, dengan lebih banyak imej diberikan setiap hari termasuk kawasan di Lautan Hindi.

* 19 Mac (Hari 12) - Hishammuddin menolak laporan yang mendakwa pesawat MH370 dilihat terbang rendah di Maldives.

* 20 Mac (Hari 13) - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memberitahu objek yang mungkin berkaitan dengan MH370, dikesan di selatan Lautan Hindi, yang terletak kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth.

- Hishammuddin berkata operasi SAR diteruskan walaupun dengan penemuan objek oleh Australia, sehingga pengesahan lanjut dibuat.

* 21 Mac (14 Hari) - Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dilihat di selatan Lautan Hindi pada Khamis berkaitan dengan penerbangan MH370.

* 22 Mac (Hari 15) - Hishammuddin berkata tiada objek dikesan seperti yang dikenal pasti pihak berkuasa Australia di kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.

* 23 Mac (Hari 16) - Hishammuddin berkata Malaysia menyampaikan cerapan imej baharu satelit daripada pihak berkuasa Perancis kepada pusat penyelarasan carian Australia.

* 26 Mac (Hari 19) - Najib berkata Malaysia dan China akan terus bekerjasama rapat dalam carian MH370.

- Hishammuddin berkata imej baharu satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 di kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.

* 27 Mac (Hari 20) - Hishammuddin berkata Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan ke Perth, Australia yang merangkumi DCA (Jabatan Penerbangan Awam), MAS, TLDM dan TUDM.

- Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata 11 pesawat dan lima kapal pasukan carian multinasional ditugaskan mencari pesawat Boeing 777-200ER di selatan Lautan Hindi.

- Carian dibahagikan kepada dua kawasan dalam jarak sama meliputi 78,000 kilometer persegi.

* 28 Mac (Hari 21) - AMSA berkata kawasan carian MH370 beralih kepada lokasi 1,100 kilometer ke timur laut berdasarkan nasihat terkini oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

- Kawasan carian baharu adalah kira-kira 319,000 kilometer persegi dan sekitar 1,850 kilometer di barat Perth. - Amerika Syarikat menghantar pesawat kedua P-8 Poseidon Patrol dari Armada Ketujuh ke Perth, Australia untuk membantu usaha carian.

* 31 Mac (Hari 24) - Pihak berkuasa mempunyai kira-kira seminggu untuk mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam MH370 kerana isyarat yang dipancarkan daripada kotak hitam bergantung kepada kuasa bateri yang hayatnya berakhir selepas 30 hari.

- Operasi carian multinasional telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth, Australia, sebagai kawasan kemungkinan pesawat itu berakhir.

- Hishammuddin berkata 10 termasuk satu pesawat awam dan 10 kapal meninjau kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370.

* 1 April (Hari 25) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal sedang mencari MH370 dengan kawasan carian meliputi kira-kira 120,000 kilometer persegi.

- Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) untuk menyelaraskan carian MH370.

* 2 April (Hari 26) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal mencari MH370 di kawasan seluas 221,000 kilometer persegi.

* 3 April (Hari 27) - Najib tiba di Perth, Australia untuk melihat sendiri operasi carian MH370 dan mengadakan pertemuan dengan Abbott.

- JACC berkata kawasan carian meliputi kira-kira 223,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 1,680 kilometer barat-utara-barat Perth, Australia dengan melibatkan lapan pesawat dan sembilan kapal.

* 4 April (Hari 28) - JACC berkata carian MH370 memasuki fasa baharu dengan pendekatan operasi dasar laut di selatan Lautan Hindi untuk mengesan 'pinger' kotak hitam.

* 5 April (Hari 29) - JACC berkata pengesan kotak hitam yang digunakan oleh kapal peronda Haixun 01 milik China mengesan dua isyarat detik di selatan Lautan Hindi.

Tiada ulasan: