MALAYSIAKINI
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata para pesara
harus mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang
dianjurkan oleh pihak kerajaan atau badan sukarela.
Beliau yang juga menteri pendidikan berkata, penglibatan itu perlu bagi
mengupayakan diri dan memberi sumbangan yang bermakna untuk mengisi masa
lapang.
Muhyiddin berkata, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) anjuran
kementeriannya juga membolehkan para pesara menambah kemahiran diri
serta mempromosi aktiviti program tersebut.
"Saya
ingin mencadangkan agar saudara saudari mengambil peluang persaraan ini
untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan pihak
kerajaan atau badan sukarela bagi mengupayakan diri dan memberi
sumbangan yang bermakna dalam mengisi masa lapang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan penghargaan kepada pesara
yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan mantan ketua jabatan
di Majlis Jasamu Dikenang hari ini.
Selain itu, Muhyiddin berkata lagi, selain dapat beristirahat bersama
keluarga, seseorang pesara juga boleh mengambil peluang dalam tempoh
itu dengan beramal ibadat.
Katanya, bersara daripada perkhidmatan awam bukan bermakna berakhir
segalanya, sebaliknya ia merupakan langkah permulaan ke suatu alam baru
dalam kehidupan.
"Selain dapat beristirehat, daripada memikirkan beban tugas di pejabat,
persaraan ini memberi peluang untuk saudara saudari menambah amal ibadat
seharian bagi tujuan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta di
samping meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang.
"Dengan cara ini, saya yakin hari-hari mendatang bagi saudara saudari
akan dipenuhi dengan suasana kehidupan yang sentiasa aktif, segar dan
ceria," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan