Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kesan letupan yang berpunca dari sebuah kereta dan turut menjejaskan lapan buah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun, hari ini. - Foto Bernama Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kesan letupan yang berpunca dari sebuah kereta dan turut menjejaskan lapan buah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun, hari ini. - Foto Bernama
 
 
ALOR SETAR - Polis menemukan sejumlah besar serpihan bahan letupan yang meletup di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, Gurun, sehingga mengakibatkan tiga orang terkorban semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya berkata ada antara objek itu mempunyai tanda yang menunjukkan ia digunakan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Beliau berkata pihaknya juga menemui sejumlah besar mercun yang diharamkan di bahagian belakang rumah berkenaan.

"Berdasarkan siasatan dan saiz kesan letupan di tempat kejadian menunjukkan letupan kuat itu bukan berpunca daripada silinder gas yang meletup," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam, tiga orang terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, Gurun.  

Letupan itu mengakibatkan seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 34, dari Kem Hobart, Gurun; anak perempuannya berusia lapan tahun Nur Idayu Syahirah Ayob serta anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut manakala isterinya Sharifah Azlina Hashim, 30, dan jirannya Zuraida Mat Rotebe, 30, yang merupakan ibu Aqif, cedera parah.

Sharifah Azlina mengandung enam bulan tetapi janinnya meninggal dunia dalam perut kesan letupan itu.