Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, berpandangan banyak perkara yang perlu diambilkira daripada kecelaruan PT3 ini.
Bagi beliau rungutan ibu bapa tentang PT3 wajar diambil kira. Beliau mengulas isu ini di dalam facebook selepas membuat tinjauan ke sebuah sekolah di Bandar Baru Bangi di samping merujuk maklumat beberapa keputusan sekolah berasrama penuh yang terkenal.
“Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.
“Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc, diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi.
“Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain. Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya.” Tulis beliau.
Prof Agus merujuk kepada keputusan SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi yang biasanya jumlah pelajar yang mendapat 8A melebihi seratus orang, namun kali ini hanya 8 orang sahaja yang mendapat 8A.
Beliau bersetuju bahawa PT3 berbentuk subjektif dan memerlukan pelajarnya lebih kreatif dalam berfikir, namun adakah cara ini membantu meningkatkan taraf pendidikan negara?
“Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?
Oleh hal yang demikian, Prof Agus mencadangkan supaya suatu kaji selidik yang telus dilakukan dalam kalangan guru dan ibu bapa.
“Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita. Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka. Itulah yang terbaiknya.” Ulasnya lagi.
Pelajar ini merupakan kumpulan pertama yang mengambil PT3 sejak diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan