Ahad, 7 Disember 2014

Pemuda MCA, MIC ditegur gagal main peranan


Mohd Razlan Muhammad Rafii Mohd Razlan Muhammad Rafii
 
 
LUAHAN hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mengakui beliau malu, letih, perit dan serik dengan kemelut politik Umno Selangor sebelum ini menjadi pedoman dan peringatan kepada semua kepimpinan Umno di setiap peringkat dalam memastikan parti itu terus relevan dan kembali wibawanya pada PRU14 akan datang.

Jika dibiarkan berterusan, tidak mustahil untuk BN mendapatkan majoriti semakin sukar, paling khuatir akan kehilangan kerajaan.

Untuk melihat sejauh mana kerjasama ikatan BN terutamanya, Sinar Online mendapatkan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, MOHD RAZLAN MUHAMMAD RAFII bagi menjelaskan perkara ini.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian Online, Nizam Zain bersama jurukamera Yusrizal Yusuf.

Mengapa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sering dilihat bersendirian dan lebih menyerlah dalam usaha mendekatkan golongan muda.

Kita melihat kepada perjuangan Pemuda ini sejak dulu lagi kita ada semangat kita yang akan berpaksikan kepada ketua kita atau akur kepada ketua.

Ia bukan bermaksud hanya Khairy sahaja yang menyerlah, bagi saya mereka (pemimpin Pemuda lain) mereka terus buat kerja juga menerusi biro masing-masing seperti biro kesejahteraan bandar dan biro kos sara hidup.

Biro ini diwujudkan sebagai latihan dan banyak biro dalam kepimpinan Khairy memang buat kerja, cuma hari ini kemungkinan kita melihat pendedahan itu diberikan kepada beliau sahaja.

Kalau kita hendak tengok dari segi KPI, saya melihat biro-biro dalam Pemuda Umno Malaysia ini memang menjalankan kerja-kerja mereka.

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan pula, kami bertanggungjawab untuk memperjuangkan anak muda bandar, kami juga bawa isu perumahan, isu gelandangan dan isu kos sara hidup.

Tahun lepas kita lihat kos sara hidup diperkatakan oleh banyak pihak tetapi pada waktu isu kita melihat biro yang dijaga hal ehwal pengguna ini menggunakan pendekatan yang baik dengan turun padang dan turun ke pasar borong menemui rakyat.

Kita melihat bukan sahaja Khairy, kita melihat semua orang dalam Pemuda Umno ini buat kerja, cuma kita mahu Khairy ke depan supaya melambangkan kami.

Kenapa Pemuda Umno dilihat lesu untuk memikat semula golongan muda di bandar? Apakah strategi pada masa depan untuk mengembalikan sokongan anak muda kepada BN?

Kita melihat politik dalam bandar ini agak berbeza dengan luar bandar, permintaan anak muda hari ini terlampau rumit, kita hendak tambat hati mereka bukan seperti pemuda di luar bandar.

Di Wilayah Persekutuan, rata-ratanya anak muda sudah mempunyai keperluan asas yang cukup, kalau di kampung itu hendak bagi jersi itu mereka Alhamdulillah menghargai pemberian itu.

Tetapi hari ini kalau hendak bagi jersi, maksudnya mereka rasa itu perkara biasa, mereka main futsal satu hari pun habis beratus-ratus ringgit.

Maksudnya taraf kehidupan mereka ini berbeza. Sama juga dengan tahap permintaan mereka juga berbeza, jadi anak muda di bandar ini lebih melihat apa kita perjuangkan untuk mereka.

Dengan pendekatan Khairy dengan menjadikan Pemuda Umno ini sebagai pemuda penyelesai masalah diyakini dapat mengembalikan sokongan mereka kepada kami.

Kita bukan hendak gula-gulakan golongan muda ini tetapi pemuda kena tampil dengan formula untuk menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, hari ini kita sudah selesaikan masalah perumahan, pada masa sama kita membantu mereka menyelesaikan masalah untuk mencari pekerjaan.

Ini adalah cerita yang kita tampilkan sebagai anak muda yang menyelesaikan masalah orang muda bandar.

Kita tengok juga kenapa anak muda ini tidak sokong kita, mungkin disebabkan pengaruh atau persepsi negatif yang dimainkan pembangkang.

Ini juga berbalik kepada demografi di bandar yang dilihat kebanyakan komposisi kaumnya di sesuatu kawasan itu tidak langsung seimbang.

Sebagai contoh di Parlimen Seputeh, kaum Cina yang duduk di sini hampir 90 peratus. Berbeza pula dengan Parlimen Bandar Tun Razak, kaum Cina hanya 35 peratus.

Kita lihat kependudukan ini tidak seimbang, namun kita melihat watak yang dimainkan oleh Pemuda Umno ini untuk mendapat sokongan dan diterima dengan baik oleh anak muda Melayu itu di kawasan bandar.

Namun, kita juga mahu tengok bagaimana komponen BN lain memainkan peranan mereka untuk mendapatkan sokongan daripada bangsa-bangsa lain.

Sebab kita ada tanggungjawab, orang Umno ada tanggungjawab untuk menarik sokongan anak muda orang Melayu.

MCA pula ada tanggungjawab mereka menarik golongan belia Cina, serupa juga MIC, dia juga kena menarik sokongan belia India.

Perkara ini bukan satu formula yang dibebankan untuk Umno sahaja tetapi ianya mesti meluas, semua orang kena buat kerja.

Hari ini kita boleh bercakap tentang politik, kita boleh kongsi kuasa, kita boleh biarkan MCA bertanding di Bandar Tun Razak walaupun komposisi kaumnya 55 peratus adalah orang Melayu.

Kita juga boleh benarkan MCA dan Gerakan bertanding di Kepong, Cheras dan Seputeh, dalam masa sama kita minta juga agar komponen ini mempersembahkan KPI mereka kembali bagaimana untuk meraih sokongan anak muda Cina dan India.

Ada banyak perkara yang banyak kita buat kepada semua kaum, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak muda hari ini sebanyak RM493 juta kita berikan kepada kaum Cina.

Pemuda MCA kena bergerak progresif, ada banyak perkara dan pendekatan yang BN laksanakan untuk membela semua kaum, namun MCA dan MIC kena turun bawah beritahu kepada rakyat bahawa semua ini adalah keikhlasan BN dan membawa pembaharuan untuk membela anak muda Cina dan India.

Kita juga tidak tinggalkan anak muda Melayu sebab mereka ini menjadi tanggungjawab orang Umno dan Alhamudillah kita tengok sokongan mereka tetap kepada Umno.

Kita kena perbaharui konsep kongsi kuasa pada hari ini, kalau kita benar-benar turun padang buat kerja, jumpa belia selesaikan masalah dan kita dekatkan hati mereka, Insya-ALLAH kita dapat formula yang bagus.
Berhubung dengan khidmat wakil rakyat pula, kawasan luar bandar mempunyai Dun yang fokus kepada geografi pengundi yang lebih kecil 15,000 hingga 30,000 orang untuk kita jaga dalam satu-satu kawasan.

Kalau dalam bandar seperti Wilayah Persekutuan, seorang wakil rakyat kena jaga hingga 90,000 orang seperti di Bandar Tun Razak, hampir 100,000 orang rakyat.

Hari ini, kita lihat wakil rakyat PR dalam bandar bukan berkhidmat untuk rakyat tetapi untuk diri sendiri sebab mereka ada banyak alasan untuk tidak turun ke bawah kerana jumlah rakyat terlampau banyak.

Oleh kerana itu, saya mengalu-alukan sekiranya kita ada persempadanan semula agar rakyat dapat wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk mereka.

Sehingga ke hari ini, Umno sentiasa turun ke bawah menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dan sukan, semuanya dilakukan untuk menyantuni masyarakat meskipun mereka tidak menyokong kami.

Dengan cara ini membenarkan politik persepsi mendapat tempat kepada warga kota. Ini sesuatu yang bahaya, persepsi ini cerita buruk lebih sedap dari cerita baik.

Ini sangat bahaya kepada anak muda, apabila politik persepsi ini terus dimainkan, kita akan dapat kerugian daripada masyarakat.

Adakah wajar nisbah kerusi komponen BN dikaji semula susulan MCA dan MIC gagal memenangi kerusi yang dipertandingkan?

Langkah ini tepat, kita kena kaji semula, jika kita lihat seperti Bandar Tun Razak mempunyai 55 peratus orang Melayu, jadi ia patut diberikan kepada Umno, MCA tidak mampu mengembalikan sokongan orang Melayu kepada kita.

Sama juga dengan tempat-tempat lain, perkara ini perlu dikaji semula kerana parti komponen dilihat terlalu selesa dan mereka beranggapan kalau tidak buat apa-apa pun, Perdana Menteri akan bagi juga (jawatan dalam kerajaan).

Sedangkan setiap hari, setiap minggu, Umno yang buat kerja, MCA dan MIC yang punyai kekuatan sendiri, kenapa tidak buat kerja?

Kenapa DAP boleh mencari populariti dengan kaum Cina, sedangkan MCA takkan 30-40 peratus tidak boleh dapatkan sokongan itu untuk BN?

Sekiranya MCA dan MIC tidak boleh mencapai KPI mereka, maka lebih elok peluang untuk kita menang di kawasan ini diberikan kepada Umno.

Kalau perkara itu boleh jadi kenyataan, kawasan majoritinya Melayu diberikan kepada Umno, kita buatlah, tetapi kalau MCA dan MIC boleh memperbetulkan kesilapan mereka untuk mendapatkan sokongan kaum mereka, jadi kita bagi balik ikut formula kongsi kuasa ini.

Inilah yang kita harapkan sekurang-kurangnya mereka boleh ‘deliver’ 30-40 peratus untuk memberi kemenangan kepada BN.

Tiada ulasan: