HARAKAH: Bagaimana konsistensi PAS ketika ini untuk terus memperjuangkan Rang Undang-undang Syariah atau Hudud ini ke Sidang Parlimen?
UST NIK ABDUH: PAS sekarang semakin konsisten dan konsisten PAS semakin bertambah kerana kita diberi keyakinan bahawa Kerajaan Pusat bersedia membawa Undang-undang Hudud ini ke Parlimen. Kita telah bersetuju beberapa bulan lepas untuk mengadakan jawatankuasa di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan. Jawatankuasa itu berjalan dan saya dimaklumkan oleh pihak parti bahawa kita dalam proses akhir dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam jawatankuasa tersebut. Kita letak harapan tinggi bahawa kita akan bawa hudud ini di sidang Parlimen dalam masa terdekat.
Dari segi komitmen Ahli-ahli Parlimen PAS sendiri bagaimana Ustaz?
Untuk peringkat ini, kita tidak diberi selain daripada usaha mengekalkan momentum kepada rakyat. Ini kerja diperingkat jawatankuasa dan kerajaan negeri. Antara Ahli Parlimen PAS yang terlibat adalah Datuk Takiyuddin Hassan, beliau banyak mainkan peranan. Itu peringkat Ahli Parlimen, jika diperingkat kerajaan negeri dan parti, ramai lagi terlibat untuk draf semula sama ada untuk dibawa ke parlimen atau tambah baik enakmen sedia ada untuk dibawa ke peringkat Dun Kelantan. Kami Ahli-ahli Parlimen meneruskan momentum meyakinkan rakyat bahawa Rang Undang-undang dibawakan nanti adalah terbaik untuk negeri Kelantan.
Boleh ustaz jelaskan mengenai sesi meyakinkan rakyat itu dilaksanakan?
Melalui penerangan, penulisan, media itu kita buat untuk yakinkan rakyat bahawa hudud adalah terbaik. Kedua kita konsisten untuk bawa undang-undang itu ke Parlimen. Kita lihat reaksi rakyat macam tak sabar, jadi kita kata sabarlah, ikut proses. Yang kritik itu kerana nak tengok bila? Jadi sabar, kita ikut proses.
Bagaimana pula dengan suara-suara tentangan dari rakan tahaluf kita, PKR dan DAP?
Kita sudah hadapi sebelum ini, kita hadapi yang menyokong, kita hadapi yang membangkang. Kita telah ada banyak pengalaman, jawapan dan oleh sebab ia berterusan maka kita berterusan berhadapan dengan isu sokongan dan isu tentangan. Kita pernah berhadapan dengan tentangan lebih teruk, sekarang tak teruk dah, nak sokong dah. Paling tidak dia ada janji dan dalam kalangan ahli Umno, pemimpin Umno pun tak cakap buruk mengenai hudud, mereka lebih lunak. Itu menandakan bangkangan terhadap kesediaan PAS, untuk bawa hudud ini semakin hari semakin ringan. Jadi kalau dulu teruk kita hadapi, sekarang lebih senang.
Secara peribadi, keyakinan ustaz sendiri macam mana?
Saya yakin! Yakin itu bergantung kepada keputusan di Parlimen.
Untuk bawa Rang Undang-undang Syariah atau Hudud ini ke Sidang Parlimen, sejauh mana konsistennya PAS ketika ini?
UST NASRUDIN: PAS memang konsisten untuk meneruskan hasrat itu. Tinggal lagi kita ada beberapa kekangan melalui Jawatankuasa Teknikal yang kita bentuk antara ‘kerajaan kepada kerajaan’ sebab ia memerlukan beberapa penyelarasan sebelum bawa atau rujuk ke Parlimen untuk ‘private bill’ itu. Setakat ini, perkara itu belum selesai, jangkaan awalnya pada bulan Disember yang lepas tetapi tidak sempat. Jadi kemungkinan pada sidang dewan akan datang. Jadi hasrat untuk membentang ‘private bill’ Rang Undang-undang Jenayah Syariah di Kelantan itu tidak pernah kita hentikan.
Adakah komitmen ini kerana ‘core business’ PAS itu undi Melayu?
Ini tuntutan syarak. Apaila kita ada kuasa, maka kita ada bertanggung jawab untuk memastikan kuasa kita itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan syariat Islam. Sebab kita berkeyakinan pelaksanaan syariat Islam boleh menyelesaikan banyak perkara berkait isu jenayah, sosial. Itu mesti difahami semua untuk diberi peluang kepada kerajaan yang berkuasa untuk dia meminda dan memiliki hak melaksanakan undang-undang yang dibenarkan oleh Perlembagan sementelah Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan.
Maka, Islam itu mengikut tafsiran kita termasuklah untuk melaksanakan syariat Islam. Jadi, memerlukan beberapa pindaan atau gubal undang-undang untuk bawa ke Parlimen. Sampingannya kita telah berjanji, apabila rakyat memberi mandat dan kuasa kepada kita, kita akan laksanakan syariat Islam di Kelantan. Jadi, lama dah rakyat menanti.
Kerajaan Kelantan telah menggerakkan usahanya selain daripada usaha dari dulu yang dibuat dengan memberi penerangan. Jadi hujah kata nak tunggu rakyat faham dulu itu sudah tidak relevan sebab dah 20 tahun lebih. Kerajaan Negeri Kelantan telah ambil masa untuk beri penerangan kepada rakyat dengan Minggu Hudud, kuliah dan bermacam-macam kertas kerja, seminar yang telah dibuat yang saya kira itu sudah cukup dan memadai.
Kalau masih ada individu belum memahami, itu tanggung jawab individu tersebut untuk mendalami. Tetapi kerja kerajaan berterusan untuk beri pengetahuan kepada rakyat mengenai hudud. Dalam masa sama hasrat untuk melaksanakan hudud secara teknikalnya mesti diusahakan seperti ‘private bill’ dalam Parlimen. Di Kelantan sudah selesai di peringkat Dewan Undangan Negeri, tunggu beberapa halangan atau kekangan undang-undang.
Kedengaran masih ada rakan dari DAP dan PKR menentang hasrat itu, bagaimana?
Asal dulu kita telah capai persefahaman bahawa kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu memang telah ada persetujuan bersama ditandatangani ketiga-tiga pimpinan utama parti. Kita pun setuju untuk tidak ganggu dasar parti dia dan dia pun setuju tidak ganggu dasar parti kita.
Soal pelaksanaan syariah ini tidak sepatutnya berlaku ketegangan atau krisis sebab kita tahaluf siyasi, kerjasama politik. Tapi ini bukan urusan politik saja, ini urusan agama, tuntutan syariah. Ia jadi perjuangan PAS yang tidak boleh kita ketepikan. Soal dahulu atau kemudian, itu perancangan. Orang kata kita gopoh, kita tak gopoh, ini dah tahun ke-23, bukan gopoh dah, ini masa yang sesuai, masa yang sepatutnya.
Bagaimana iltizam, khususnya Kerajaan Negeri Kelantan untuk ia dilaksanakan dalam masa terdekat?
Setakat ini, Dewan Ulama telah menyelesaikan beberapa perkara akhir untuk menyemak draf undang-undang tersebut dan baru saja minggu lepas kita buat sidang antara Dewan Ulama dengan beberapa pakar undang-undang untuk menyemak penambahbaikan. Ia hasil perbincangan kita dengan pihak peguam dan pelbagai pihak hakim dan mereka ada beri nilai tambah. Kita telah semak dan perbaiki yang lama untuk lihat kesempurnaannya. Dilihat Kerajaan Negeri Kelantan sangat bersedia untuk melaksanakannya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan