Baru-baru ini Kerajaan Barisan Nasional membentangkan kertas putih di Parlimen berkenaan isu keganasan yang dilakukan ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant), organisasi teroris.Perdana Menteri sendiri yang membentangkan Kertas Putih tersebut.
Antara lain kertas putih itu menyatakan wujudnya rakyat Malaysia yang terlibat dalam isu keganasan di peringkat antarabangsa termasuk penglibatan di dalam skuad pengebom berani mati di Iraq.
Sebenarnya kami sebagai Ahli Parlimen begitu hairan dengan tidak semena mena Kerajaan tiba tiba membentangkan Kertas Putih itu sedangkan kami rasakan wujud banyak isu lain yang memerlukan Kerajaan membentangkan Kertas Putih tapi hingga sekarang masih tidak dibentangkan.
Saya pernah bangkitkan di Parlimen tentang isu Kertas Putih mengenai serangan pengganas Sulu di bumi Sabah namun sehingga kini tiada sebarang Kertas jauh sekali Kertas Putih dibentangkan tentang isu Sulu itu.
Setelah pembentangan Kertas Putih Perdana Menteri, kedua dua wakil rakyat dari BN dan Pakatan Rakyat (PR) diberikan peluang berbahas di mana bagi pihak PR wakil yang berbahas adalah Dato Seri Anwar Ibrahim (PKR), YB Lim Kit Siang (DAP) dan YB Dato Kamarudin Jaafar (PAS) .
Suatu yang amat malang Perdana Menteri gagal menunjukkan satu sikap yang matang dan profesional apabila beliau tidak duduk di dewan apabila Ketua Pembangkang bangun berucap sedangkan ketika beliau berucap Ketua Pembangkang tekun mendengar beliau berucap.
Keadaan yang sama juga berlaku semasa perbahasan belanjawan.
Jika Ketua Pembangkang tekun mendengar Perdana Menteri membentangkan belanjawan negara, Perdana Menteri pula gagal berada di dewan apabila Ketua Pembangkang, sebagai pembahas pertama, bangun berbahas belanjawan yang Kerajaan bentangkan.
Jelas sikap Perdana Menteri itu adalah satu tradisi yang menyimpang dari amalan sistem Westminster yang negara ini warisi dari British.
Di England, Ketua Pembangkang diberi status yang tinggi dan mulia di mana ia diiktiraf ibarat sebagai Perdana Menteri Kabinet Bayangan (Shadow Cabinet).
Di England , Ketua Pembangkan dikenali sebagai 'Leader of Her Majesty's Official Opposition'.
Jika sekalipun Ketua Pembangkan di negara ini tidak diiktiraf sebegitu tinggi sepertimana di negara yang maju demokrasinya paling kurang Kerajaan BN seharusnya menunjukkan rasa hormat kepada jawatan Ketua Pembangkang itu tanpa mengira siapa yang memegang jawatan itu.
Perdana Menteri sepatutnya turut berada di Parlimen ketika mana Ketua Pembangkang berbahas dalam isu isu besar negara seperti isu belanjawan negara atau pembentangan Kertas Putih.
Berbalik kepada isu Kertas Putih.
Kesemua ahli parlimen yang berbahas, tanpa mengira BN atau PR nampaknya sebulat suara menentang keganasana dalam apa bentuk sekalipun Malahan mereka juga sebulat suara menentang keganasan yang dilakukan atas nama agama. Bagaimanapun wujudnya perbezaan besar dan ketara antara BN dan PR berkenaan cadangan yang dibangkitkan dalam kertas putih itu.
Apakah cadangannya? Ia berkenaan cadangan BN perlunya wujud satu undang undang baru yang perlu digubal untuk menentang isu keganasan ini.
Di sini lah pemisahan antara PR dan BN seperti mana pemisahan (firaq) antara Nabi Khidir a.s dan Nabi Musa a.s dalam kisah yang dinyatakan dalam surah al Kahfi di dalam Al-Quran.
BN sebulat suara menyokong penggubalan satu lagi akta untuk memerangi keganasan.
PR pula sebulat suara menentang idea busuk itu.
Persoalannya adakah pendirian PR itu boleh ditafsirkan sebagai menyokong keganasan?
Jika ditanya kepada BN itulah kesimpulan mudah yang mereka akan katakan.
Pendirian PR hakikatnya satu pendirian yang wajar dan amat munasabah.
Kita perlu bertanya adakah negara kita ini tidak mempunyai undang undang bagi menentang isu keganasan sehingga kita perlukan undang undang baru seperti yang dicadangkan Kerajaan BN dalam Kertas Putih itu.
Jawapan kepada persoalan itu adalah kita sudah ada tiga undang undang yang digubal Kerajaan BN bagi memerangi keganasan. Maka apa perlunya Kerajaan ingin menambah satu lagi undang undang?
Kita sudah ada Akta Pencegahan Jenayah yang dipinda tahun lepas dengan dimasukkan peruntukkan baru yang tersangat drakonian bagi memerangi antara lain isu keganasan.
Akta tersebut juga mengembalikan semula tahanan tanpa bicara iaitu roh jahat ISA yang ditiup masuk ke dalam Akta itu.
Kita juga sudah ada SOSMA iaitu Akta yang secara spesifik digubal untuk memerangi keganasan.
Akta ini sarat dengan pelbagai peruntukkan yang amat bertentangan dengan prinsip karamatul insan (kemuliaan manusia) dan prinsip prinsip keadilan khususnya hak hak orang yang dituduh.
Saya berbahas panjang dalam Parlimen ketika Akta Pencegahan Jenayah dan SOSMA dibentangkan di mana saya masukkan dalam ucapan saya prinsip prinsip Islam dan undang undang dalam perbahasan saya.
Saya masih ingat ketika mana saya menyebut dan menghurai prinsip prinsip keadilan dalam Islam di Parlimen tatkala berbahas kedua dua Akta ini, Ahli Parlimen DAP dari Bukit Mertajam, iaitu wakil rakyat bukan Islam bangun mencelah dan menyatakan "saya amat tertarik dan terpegun dengan prinsip prinsip Islam yang diutarakan Ahli Parlimen Sepang"
..Alhamdulillah ia meyakinkan lagi saya betapa keindahan Islam itu wajar diterangkan dengan lebih agresif kepada orang orang bukan Islam .
Akhirnya kita juga mempunyai peruntukkan peruntukkan khas dalam Kanun Keseksaan yang bertujuan memerangi keganasan.
Jelas Kerajaan BN terlalu 'stereotype' dalam berfikir dan bertindak.
Bagi mereka segala isu hanya boleh diselesaikan melalui undang undang.
Hakikatnya salah satu ciri sebuah negara diktator adalah negara itu mempunyai terlalu banyak undang undang.
Adakah negara ini sedang bergerak ke arah tersebut?
Bagi kita isu keganasan ini lebih kepada isu fahaman atau ideologi maka undang undang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah itu kerana undang undang bukan digubal untuk berlawan dengan ideologi.
Amat perlu difikirkan mekanisme lain.
Ya, benar keganasan melibatkan keselamatan negara maka sewajarnya Kerajaan memikirkan soal sistem pertahanan kita yang begitu rapuh sehingga mudah ditembusi pengganas dan ini melangkaui aspek undang undang.
Justeru itu apabila Kertas Putih dibentang bagi menjustifikasi penggubalan satu lagi undang undang yang baru dan represif maka kita berhak bertanya mengapakah Kertas Putih ini dicemarkan dengan motif yang hitam !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan